Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parlimen Austria lulus rang wajibkan vaksinasi ke atas orang dewasa

Jan 22, 2022 | 5:30 AM
TIDAK SETUJU: Puluhan ribu orang mengadakan bantahan untuk menentang vaksinasi wajib itu dalam siri perhimpunan hujung minggu. - Foto AFP
TIDAK SETUJU: Puluhan ribu orang mengadakan bantahan untuk menentang vaksinasi wajib itu dalam siri perhimpunan hujung minggu. - Foto AFP -

VIENNA: Parlimen Austria meluluskan undang-undang mewajibkan vaksinasi Covid-19 bagi orang dewasa mulai bulan depan, menjadikannya negara Eropah pertama berbuat demikian walaupun terdapat gelombang bantahan yang menentang langkah itu.

Puluhan ribu orang telah mengadakan bantahan untuk menentang vaksinasi wajib itu dalam siri perhimpunan hujung minggu sejak langkah itu diumumkan pada November lalu dalam usaha pemerintah negara itu untuk meningkatkan kadar vaksinasi.

Semua parti, kecuali sayap kanan, menyokong langkah itu, dengan perundangan baru itu diluluskan kelmarin dengan 137 undi menyokong dan 33 undi menentang di Parlimen yang mempunyai jumlah 183 kerusi.

"Ia diluluskan dengan majoriti (yang diperlukan)," kata Cik Doris Bures, presiden kedua Majlis Kebangsaan.

Setakat ini, 72 peratus penduduk Austria telah diberi vaksin sepenuhnya terhadap Covid-19 - sejajar dengan purata seluruh Kesatuan Eropah (EU), tetapi beberapa mata peratusan di bawah negara jiran seperti Italy dan Perancis.

Di bawah undang-undang baru, yang berkuat kuasa pada 4 Februari, mereka yang tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan denda sehingga 3,600 euro ($5,500) mulai pertengahan Mac selepas "fasa pengenalan" awal.

Pemerintah Austria mulanya mahu merangkumi undang-undang itu kepada semua orang berumur 14 tahun ke atas, tetapi kini langkah itu hanya terpakai kepada golongan dewasa kecuali wanita hamil dan mereka yang dikecualikan atas sebab kesihatan.

Sebilangan besar ahli parlimen daripada semua parti mengundi menyokong undang-undang tersebut, dengan pemimpin pembangkang Sosial Demokrat (SPOe) dan NEOS Liberal memberi sokongan kepada gabungan Parti Hijau kanan-tengah.

Satu-satunya pembangkang ke atas undang-undang itu datang daripada Parti Kebebasan (FPOe) yang berhaluan kanan yang telah cuba memikat pengundi antivaksinasi.

Pemimpin FPOe, Encik Herbert Kickl, mengecam undang-undang itu dalam perbahasan Parlimen yang hangat kelmarin, sambil mendakwa ia "membuka jalan kepada totalitarianisme di Austria".

Beliau berikrar bahawa beliau sendiri akan terus menolak vaksinasi sebagai penentangannya terhadap undang-undang baru itu. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg