KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat (Parlimen) Malaysia pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023. Rang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Encik Ramkarpal Singh, dan dibahas 10 Ahli Parlimen (AP). Encik Ramkarpal berkata Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori itu adalah suatu akta "omnibus" kerana merangkumi pindaan kepada Kanun Keseksaan, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Kanun Tatacara Jenayah untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, mengubah hukuman yang berhubungan dengan pemenjaraan sepanjang hayat dan sebatan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengannya. Katanya, hukuman mati mandatori adalah antara hukuman yang dianggap sebagai kaedah di mana keadilan dapat dicapai terutamanya apabila membabitkan kesalahan kejam. "Namun tiada kajian lanjut yang dapat membuktikan bahawa hukuman mati adalah langkah pencegahan jenayah terbaik atau berkesan. "Keberkesanan hukuman mati sebagai satu bentuk pencegahan tidak dapat dipastikan memandangkan terdapat banyak faktor yang mempengaruhi bilangan pendakwaan atau kadar jenayah," katanya, lapor Berita Harian Malaysia.