NAZARETH: Parti-parti pembangkang Israel digesa mengetepikan perbezaan politik dan menerima sokongan parti Arab bagi menamatkan pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, selepas pilihan raya umum pada 27 Oktober gagal menghasilkan mana-mana gabungan yang memperoleh majoriti jelas.

Gesaan itu dibuat pemimpin Joint List, Encik Yousef Jabareen, yang menegaskan bahawa keputusan pilihan raya membuktikan kerajaan baharu tidak mungkin dibentuk tanpa kerjasama parti Arab.

Joint List muncul sebagai parti Arab terbesar dengan memenangi 11 kerusi, manakala sebuah lagi parti Arab, Raam, memperoleh lapan kerusi.

Kejayaan kedua-dua parti itu menjadikan pengundi Arab, yang membentuk sekitar 20 peratus penduduk Israel, sebagai kelompok penting dalam menentukan siapa bakal menerajui kerajaan.

Dalam wawancara dengan AFP di Nazareth pada 2 November, Encik Jabareen berkata kejayaan parti Arab telah menghalang Encik Netanyahu daripada meraikan kemenangan dan meneruskan pemerintahannya.

Menurutnya pimpinan Encik Netanyahu merupakan pemerintah berhaluan kanan jauh yang membawa pelbagai ancaman kepada masyarakat Israel.

Beliau turut mengkritik pemimpin pembangkang yang enggan bekerjasama dengan parti Arab, khususnya ketua parti Yisrael Beiteinu, Encik Avigdor Liberman.

“Seperti semua pihak dalam arena politik, Liberman mesti menerima realiti politik dan jumlah kerusi dalam Knesset.

“Berdasarkan kedudukan kerusi sekarang, pemerintah Netanyahu tidak boleh digantikan tanpa penyelarasan dengan Joint List,” katanya.

Keputusan pilihan raya menyaksikan blok pimpinan Encik Netanyahu bersama sekutu parti kanan dan agama memperoleh 53 kerusi, jauh daripada majoriti 61 kerusi yang diperlukan dalam Knesset, Parlimen Israel yang mempunyai 120 anggota.

Blok pembangkang pimpinan Encik Gadi Eisenkot pula memenangi 48 kerusi.

Bagaimanapun, sokongan 19 anggota Parlimen daripada dua parti Arab berpotensi memberikan pembangkang kelebihan untuk membentuk kerajaan atau menyokong pentadbiran minoriti.

Encik Jabareen menegaskan bahawa parti pembangkang perlu menerima hakikat tersebut sekiranya benar-benar mahu menyingkirkan Encik Netanyahu.

Beliau berkata Joint List bersedia memberikan sokongan terhadap rang undang-undang dan keputusan kerajaan yang selaras dengan kepentingan masyarakat Arab Israel.

“Keadaan politik kini jelas. Parti pembangkang tidak mempunyai majoriti untuk meluluskan undang-undang tanpa Joint List.

“Oleh itu, kami bersedia menghulurkan kerjasama dalam menyokong undang-undang dan keputusan yang memenuhi matlamat serta program politik kami,” katanya.

Bagaimanapun, usaha membentuk gabungan tersebut berdepan halangan besar kerana sebahagian parti pembangkang Yahudi menolak kerjasama dengan parti Arab.

Encik Liberman, yang partinya memenangi tujuh kerusi, mengumumkan pada 2 November bahawa beliau akan mencadangkan Encik Eisenkot sebagai perdana menteri.

Namun, beliau menegaskan tidak akan menyertai pemerintah bersama Encik Netanyahu atau pemerintah minoriti yang bergantung pada sokongan parti Arab.

Encik Eisenkot sendiri mempunyai beberapa perbezaan pendirian dengan Joint List, terutama berhubung penubuhan negara Palestin.

Seperti Encik Netanyahu, beliau menentang penubuhan negara Palestin, walaupun berjanji memulihkan imej antarabangsa Israel yang terjejas akibat perang di Gaza dan membanteras keganasan peneroka Yahudi di Tebing Barat.

Encik Jabareen bagaimanapun percaya masih terdapat ruang untuk mencapai persefahaman.

Menurutnya, Joint List mahu memberikan keutamaan kepada isu yang menjejas kehidupan masyarakat Arab Israel, termasuk jenayah, keganasan, perobohan rumah, dasar diskriminasi dan pengagihan belanjawan kerajaan.

“Keperluan memastikan keselamatan mereka daripada jenayah dan keganasan, perobohan rumah, dasar diskriminasi serta pengagihan belanjawan merupakan isu yang masih mempunyai ruang untuk dibincangkan,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bakal rakan gabungan perlu sekurang-kurangnya menunjukkan kesediaan mempertimbangkan pendirian Joint List yang menolak dasar Encik Netanyahu, termasuk peperangan di Gaza dan keganasan peneroka Yahudi di Tebing Barat.

Encik Jabareen berkata pendirian partinya berasaskan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, bukannya fahaman pelampau seperti yang sering didakwa pihak lawan.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin Raam, Encik Mansour Abbas, pada 2 November dan dijadualkan bertemu pemimpin parti The Democrats, Encik Yair Golan, pada 3 November.

Encik Golan merupakan antara pemimpin pembangkang yang secara terbuka menyokong kerjasama kerajaan dengan parti Arab.

Sementara itu, Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, dijadualkan memulakan rundingan dengan pemimpin 11 parti politik pada 4 November bagi menentukan calon yang mempunyai peluang terbaik membentuk pemerintah baharu.

Calon yang menerima mandat akan diberikan tempoh sehingga enam minggu untuk mendapatkan sokongan majoriti.

Namun, penganalisis menjangkakan rundingan berlarutan kerana parti-parti utama masih berusaha mempertahankan pendirian masing-masing.

Kegagalan mencapai persetujuan boleh menyebabkan Israel terpaksa mengadakan satu lagi pilihan raya, sekali gus membolehkan Encik Netanyahu terus memegang jawatan sebagai perdana menteri sementara.

Bagi Encik Jabareen, keputusan pilihan raya telah memberikan mesej jelas bahawa parti Arab tidak lagi boleh diketepikan daripada proses menentukan masa depan politik Israel.

“Apa yang ingin saya tekankan ialah pendirian kami berasaskan hak asasi manusia serta disokong undang-undang dan konvensyen antarabangsa.

“Pendirian ini hanya boleh dianggap melampau jika orang yang membuat tuduhan itu sendiri seorang pelampau,” katanya. – Agensi berita