AHMEDABAD, India: Parti pimpinan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, peroleh kemenangan besar di negeri kelahirannya, menurut keputusan pilihan raya negeri, kelmarin.
Kemenangan itu dilihat sebagai prestasi kukuh menjelang pilihan raya umum India yang dijadualkan pada 2024.
Dalam pencapaian terbaiknya di negeri barat India itu dengan 60 juta penduduk, parti nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP), memenangi sekurang-kurangnya 147 kerusi bagi dewan legislatif yang mempunyai 182 kerusi - meningkat sebanyak 99 kerusi, dan dijangka memenangi lagi sembilan kerusi, apabila semua undi selesai dikira.
Encik Modi gigih berkempen di Gujarat, bagi pilihan raya yang berlangsung pada 1 hingga 5 Disember, di negeri di mana beliau menjadi ketua menteri selama 12 tahun, sebelum menjadi perdana menteri India pada 2014.
Encik Modi, 72 tahun, menulis di Twitter, beliau "terharu dan penuh emosi" dengan keputusan itu.
"Rakyat merestui politik pembangunan dan pada masa yang sama menzahirkan hasrat mahu pembangunan berterusan".
Encik Modi menjadi pemimpin negeri wilayah itu pada 2002, semasa sekitar 1,000 orang, kebanyakannya penganut Islam, terbunuh, dalam satu keganasan kaum paling buruk sejak India mencapai kemerdekaan.
Parti Kongres, yang dulunya cemerlang, hanya peroleh 16 kerusi, pencapaian paling buruk di wilayah itu, sejauh ini.
BJP juga menggagalkan cabaran Parti Aam Aadmi (AAP), yang mentadbir ibu kota New Delhi dan Punjab, dan berharap meluaskan jangkauannya.
Parti itu hanya memenangi lima kerusi.
BJP telah mentadbir Gujarat berterusan selama 27 tahun, dan parti itu bersama sekutu-sekutunya menerajui pemerintah di 16 daripada 28 negeri di India.
Parti yang kaya ini, dengan operasi media sosial yang kukuh, berjaya menggagalkan semua percubaan parti lawan, dengan menampilkan calon muka-muka baru termasuk bekas aktivis parti Kongres, Encik Hardik Patel serta isteri kepada bintang kriket India.
Encik Nilanjan Mukhopadhyay, seorang penganalisis politik, berkata keputusan pilihan raya itu juga dilihat sebagai sesuatu yang luar biasa, terutama selepas kejadian jambatan runtuh yang meragut nyawa 135 orang di Gujarat pada Oktober lalu, di percayai berpunca daripada perbuatan rasuah pemerintah setempat.
Keputusan pilihan raya seperti itu di Gujarat, pasti memudahkan lagi laluan BJP dalam pilihan raya umum 2024 nanti, ujar penganalisis politik itu.
Pilihan raya umum di negara demokrasi terbesar di dunia itu, dijadualkan pada 2024, dan Encik Modi dijangka turut bertanding untuk penggal ketiga. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg