Topik diikuti
Pergi ke BHkuParti politik Indonesia pertimbang siasatan Parlimen terhadap kelayakan akademik Naib Presiden
Parti politik Indonesia pertimbang siasatan Parlimen terhadap kelayakan akademik Naib Presiden
Parti politik Indonesia pertimbang siasatan Parlimen terhadap kelayakan akademik Naib Presiden
JAKARTA: Beberapa parti politik Indonesia sedang mempertimbangkan siasatan Parlimen terhadap kesahihan kelayakan akademik Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, susulan keputusan dua mahkamah yang mempertikaikan dokumen pendidikan beliau ketika bertanding dalam pilihan raya presiden 2024.
Perkembangan itu berlaku ketika hubungan Presiden Prabowo Subianto dengan pendahulunya, Encik Joko “Jokowi’ Widodo (Jokowi), yang juga bapa Encik Gibran, dilaporkan semakin tegang.
Tekanan politik terhadap keluarga Jokowi turut meningkat susulan skandal pengintipan komunikasi Presiden Prabowo yang membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Listyo Sigit Prabowo, seorang tokoh yang dikenali sebagai penyokong setia Encik Jokowi.
Encik Listyo, yang juga bekas Ketua Staf Presiden, ditahan selepas dinamakan sebagai suspek dalam kes pemintasan komunikasi secara haram yang menurut pemerintah berpotensi dianggap sebagai perbuatan pengkhianatan terhadap negara.
Dalam perkembangan berasingan, Mahkamah Agung (MA) dan Mahkamah Perlembagaan (MK) memutuskan bahawa dokumen pendidikan menengah luar negara Gibran tidak memenuhi syarat undang-undang tempatan bagi calon naib presiden.
Mahkamah turut mendapati dokumen berkenaan diterima secara tidak wajar oleh pihak berkuasa pilihan raya.
Keputusan tersebut mencetuskan persoalan baharu mengenai kelayakan Gibran untuk bertanding pada 2024, sekali gus mendorong beberapa parti politik menuntut tindakan susulan daripada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).
Tujuh daripada lapan parti yang mempunyai wakil di Parlimen kini menyertai gabungan pemerintahan Encik Prabowo, memberikan Presiden majoriti besar untuk melaksanakan dasar pentadbirannya.
Bagaimanapun, Encik Jokowi dan Encik Gibran tidak mempunyai parti sendiri yang diwakili dalam Parlimen.
Tiga parti dalam gabungan Encik Prabowo dan sebuah parti pembangkang kini mempertimbangkan tiga langkah yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Indonesia.
Langkah tersebut termasuk meminta penjelasan rasmi daripada kerajaan, melancarkan siasatan Parlimen atau mengeluarkan pendirian rasmi berhubung dakwaan pelanggaran undang-undang dan Perlembagaan.
Ketiga-tiga pilihan itu boleh menjadi langkah awal ke arah proses pemecatan seseorang pemimpin, walaupun tiada parti terbabit secara terbuka menyatakan hasrat untuk memulakan proses tersebut terhadap Encik Gibran.
Pegawai kanan Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Encik Muhammad Kholid, berkata parti itu sedang meneliti pilihan yang ada dan mengadakan perbincangan dengan parti politik lain.
“Kami sedang mengkaji pilihan tersebut dan turut berkomunikasi dengan parti politik lain,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan parti mencapai persetujuan bahawa keputusan kedua-dua mahkamah itu perlu mendapat tindakan susulan daripada Parlimen.
Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), yang turut menganggotai gabungan Encik Prabowo, juga sedang mempertimbangkan secara serius tiga pilihan berkenaan.
Pegawai parti itu, Encik Muhammad Khozin, berkata perkara tersebut tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan keputusan mahkamah mengenai syarat kelayakan seorang pemimpin negara.
Sementara itu, anggota Parlimen daripada Parti Golkar, Encik Ahmad Doli Kurnia, berpendapat langkah paling sesuai ialah Parlimen menyatakan pendirian rasmi terhadap keputusan mahkamah.
Golkar merupakan parti kedua terbesar di Parlimen dan antara penyokong utama kerajaan Prabowo.
Pejabat Naib Presiden Gibran belum memberikan maklum balas terhadap permintaan mengulas perkembangan tersebut.
Parti Demokrat pula dijangka mengumumkan pendirian rasminya apabila sidang Parlimen bermula pada 10 November.
Setiausaha Agung parti itu, Encik Herman Khaeron, berkata keputusan MA dan pertimbangan undang-undang MK mengenai dokumen pendidikan Gibran merupakan perkara serius yang perlu dibincangkan di peringkat politik.
“Saya fikir ini perkara serius dan kami bersetuju dengan rakan-rakan daripada Gerindra bahawa isu ini akan dibentangkan pada permulaan sidang,” katanya kepada wartawan di bangunan DPR pada 4 November.
Menurut beliau, proses undang-undang sudah menghasilkan keputusan mahkamah dan kini terpulang kepada Parlimen untuk menentukan tindakan politik yang wajar.
“Proses undang-undang sudah menghasilkan keputusan. Sekarang kita perlu melihat bagaimana proses politik di DPR akan berlangsung. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan,” katanya.
Bagaimanapun, Encik Herman menegaskan bahawa Parti Demokrat tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian tanpa berunding dengan parti lain.
Beliau berkata perbincangan dalaman sudah dijalankan, tetapi keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas rundingan rasmi antara parti.
Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), satu-satunya parti di luar gabungan Encik Prabowo, turut menyuarakan kebimbangan terhadap kontroversi kelayakan Gibran dan skandal pengintipan Presiden.
Setiausaha Agung PDI-P, Encik Hasto Kristiyanto, berkata rasa tidak puas hati masyarakat terhadap kedua-dua isu tersebut mendorong anggota Parlimen mempertimbangkan penggunaan kuasa mereka di bawah Perlembagaan.
“Dialog dalam Parlimen mengenai penggunaan hak Perlembagaan semakin rancak, terutama selepas kes pengintipan itu,” katanya.
Kontroversi kelayakan Gibran kembali memuncak selepas MA membenarkan tuntutan bagi membatalkan sijil penyetaraan pendidikan menengah yang digunakan beliau ketika bertanding dalam pilihan raya 2024.
Plaintif kes tersebut, Encik Subhan, mengesahkan bahawa beliau menerima maklumat mengenai keputusan mahkamah pada 30 Oktober.
Perkembangan itu menambahkan tekanan terhadap Encik Gibran ketika kedudukan politik bapanya turut menjadi perhatian susulan siasatan pengintipan Presiden. – Agensi berita