Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti politik meterai perjanjian perkukuh kerjasama dalam kerajaan perpaduan

Dec 17, 2022 | 5:30 AM
TANDATANGANI PERJANJIAN: Semua parti dan gabungan politik yang menyertai perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto EPA-EFE
TANDATANGANI PERJANJIAN: Semua parti dan gabungan politik yang menyertai perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto EPA-EFE -

PUTRAJAYA: Empat gabungan politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), petang semalam, bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua gabungan politik itu, diwakili pemimpin tertinggi masing-masing, iaitu Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH diwakili Datuk Anwar sebagai Pengerusinya.

Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama itu ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing, iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr (Warisan).

Datuk Anwar berkata semua parti dan gabungan politik yang menyertai perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong Perdana Menteri.

Beliau berkata komitmen mereka ialah menyokong sebuah kerajaan yang stabil.

Beliau berharap, kerjasama itu akan berterusan sehingga penggal kali ini berakhir.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, mengesahkan bahawa parti-parti politik yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Anwar, akan menandatangani perjanjian kerjasama mereka dengan kerajaan perpaduan.

Datuk Fadillah berkata perjanjian itu mendahului usul percaya yang bakal dibentangkan di Parlimen pada Isnin ini, menurut laporan Berita Harian Malaysia (BHM).

"Semua ketua parti sudah berbincang, malah hari ini saya pulang untuk bermesyuarat dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melihat kandungan perjanjian," katanya.

Beliau, yang juga Ketua Whip GPS, berkata mesyuarat itu akan melibatkan semua pemimpin yang sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Terdahulu, Datuk Shafie dalam kenyataannya memaklumkan parti-parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan dijangka memeterai perjanjian dalam usaha mengukuhkan kerajaan pimpinan Datuk Anwar.

Datuk Shafie berkata beliau akan hadir pada majlis itu sejajar sokongan Warisan kepada Datuk Anwar selaku Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan yang diketuainya.

"Kita akan mengadakan perjumpaan pada Jumaat ini (iaitu semalam), untuk menandatangani perjanjian antara Pakatan Harapan (PH) dengan parti yang lain, saya akan hadir pada ketika itu.

"Ini adalah keutamaan kita. Kurangkan berpolitik, yang penting kepada kita adalah membawa perkara-perkara sewajarnya di landasan yang sepatutnya," katanya dalam kenyataan selepas menerima Kunjungan Hormat Wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, Timbalan Ketua Mission, Encik Michael Newbill, di kediamannya di Kota Kinabalu kelmarin.

Mengulas lanjut, Datuk Fadillah bagaimanapun berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai intipati perjanjian itu.

Beliau berkata isu membabitkan janji dalam manifesto juga tidak dibincangkan pada mesyuarat Kabinet kelmarin.

Namun demikian, katanya, fokus Kerajaan ketika ini adalah membabitkan kos sara hidup. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg