Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti politik M'sia diingat usah anjur mesyuarat bersemuka semasa PKP

Jul 8, 2021 | 5:30 AM
KAWALAN PERGERAKAN: Anggota pasukan keselamatan mengawal pintu masuk ke kawasan yang menjalani PKP di Kuala Lumpur, pada 5 Julai lalu. Malaysia kini menghadapi lebih 6,000 kes baru jangkitan Covid-19 sejak seminggu lalu. - Foto EPA-EFE
KAWALAN PERGERAKAN: Anggota pasukan keselamatan mengawal pintu masuk ke kawasan yang menjalani PKP di Kuala Lumpur, pada 5 Julai lalu. Malaysia kini menghadapi lebih 6,000 kes baru jangkitan Covid-19 sejak seminggu lalu. - Foto EPA-EFE -

KUALA LUMPUR: Parti politik diingatkan tidak mengadakan pertemuan bersemuka semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketat (PKPD).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata beliau percaya setiap pemimpin parti memahami prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Saya percaya semua mereka memahami perkara tersebut seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

"Namun sekiranya kita menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu, kita pasti akan menyiasat dan membuka kertas siasatan," katanya selepas meninjau kawasan PKPD di Flet Sri Sabah, Cheras, di sini kelmarin.

Datuk Seri Acryl Sani berkata setakat ini polis tidak menerima laporan mengenai adanya pertemuan dan mesyuarat membabitkan parti politik, terutamanya semasa pelaksanaan PKPD di Kuala Lumpur dan Selangor.

Dalam pada itu, polis terus berusaha memastikan masalah penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dapat diselesaikan secepat mungkin.

Datuk Seri Acryl berkata, pegawai dan anggota yang ditugaskan di lokaliti PKPD akan menyelesaikan isu birokrasi yang dihadapi penduduk berkaitan.

Katanya, bantuan itu akan memudahkan membantu mereka menjalani kehidupan seharian.

"Kita sering menerima aduan dan laporan dari penduduk berhubung isu penyediaan bantuan makanan di beberapa kawasan PKPD. Saya percaya perkara ini dapat diperbaiki dengan kerjasama di antara polis dan agensi berkaitan, terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khususnya dalam kawasan PKPD di Kuala Lumpur dan Selangor.

"Saya juga sudah mengarahkan pegawai dan anggota yang ditempatkan dalam kawasan PKPD untuk memberi bantuan khusus kepada kepada masalah yang dihadapi penduduk," katanya lagi.

Terang Ketua Polis Negara itu, antara masalah lain yang dihadapi penduduk ialah permohonan untuk keluar dan masuk dari kawasan PKPD semasa menghadapi situasi kecemasan dan ke tempat kerja.

"Kita akan menilai dan memeriksa kesahihan setiap permohonan berkenaan berdasarkan perintah yang dilaksanakan dalam PKPD serta masih melarang mereka yang tidak mempunyai urusan penting keluar dari kawasan PKPD, demi kebaikan semua pihak bagi mengekang penularan Covid-19.

"Terdapat juga permohonan daripada penduduk yang menyatakan mereka berkhidmat dalam sektor penting, termasuk mereka yang bekerja dalam sektor kesihatan. Ujian saringan akan dilakukan sebelum mereka dibenarkan keluar dari kawasan PKPD," katanya.

Beliau berkata masalah yang dihadapi penduduk di kawasan PKPD akan dibawa ke dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN). - BHM.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg