JAKARTA: Dua calon presiden yang popular di Indonesia mungkin tidak dapat bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang, sedang parti politik dalam gabungan pemerintah mungkin cuba mengelakkan mereka mendapat pencalonan parti.
Pemimpin tertinggi beberapa parti politik utama dilaporkan terlibat dalam satu perbincangan tertutup berkaitan langkah tidak memberi Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo, dan Gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan, pencalonan pilihan raya presiden 2024.
Kedua-duanya bukan pemimpin elit parti politik namun telah disenaraikan sebagai calon 'peringkat satu' oleh pengundi berdasarkan kebolehpilihan mereka - bersama dengan Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto, yang dikatakan telah menghadiri rundingan itu.
Encik Ganjar ialah anggota biasa Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang memerintah, manakala Encik Anies seorang calon bebas. Kededuanya berusia 53 tahun.
Pengerusi parti Gerindra, Encik Prabowo, 70 tahun, menerima pencalonan presiden partinya pada Ogos lalu.
Di belakang mereka, dalam satu tinjauan pendapat, ialah Speaker Parlimen, Puan Maharani, 48 tahun, yang merupakan pengerusi lembaga eksekutif pusat PDI-P dan anak perempuan pengerusi parti itu, Cik Megawati Sukarnoputri; Pengerusi Parti Golkar dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, 59 tahun; dan Pengerusi Parti Kebangkitan Negara, Encik Muhaimin Iskandar, 55 tahun.
Parti-parti itu mungkin menafikan tiket pencalonan parti kepada Encik Ganjar dan Encik Anies untuk meningkatkan peluang golongan elit mereka sendiri dalam pilihan raya, menurut portal tribunnews.com yang berpangkalan di Jakarta, yang tidak menamakan pihak terlibat dalam rundingan yang dikatakan itu.
Penganalisis politik, Dr Djayadi Hanan, berkata usaha sedemikian boleh merencatkan demokrasi.
Beliau berkata gerakan sebegitu bagai tidak menghormati hak rakyat, siapa yang harus menentukan siapa yang akan dicalonkan dan siapa yang akhirnya dipilih.
"Parti boleh mengetepikan mereka yang paling popular dipilih, tetapi ia bukan misi mudah, dan ia mempunyai akibat.
"Pihak yang meletakkan calon lemah berkemungkinan mempunyai keputusan undi perundangan yang rendah," kata Dr Djayadi kepada The Straits Times.
Di bawah undang-undang pilihan raya Indonesia, sepasang calon presiden dan naib presiden hanya boleh dinamakan oleh satu parti politik atau gabungan yang menguasai minimum 20 peratus kerusi Parlimen, atau yang memperoleh 25 peratus undi pada pilihan raya sebelumnya.
PDI-P, parti terbesar di Indonesia, adalah satu-satunya dalam kalangan sembilan parti di Parlimen negara itu yang mencapai ambang tersebut, dengan 22.3 peratus daripada 575 kerusi Parlimen.
Golkar mempunyai 14.8 peratus kerusi; Gerindra 13.6 peratus; NasDem 10.3 peratus; dan Kebangkitan Negara 10.1 peratus.
Presiden Joko Widodo, yang juga anggota biasa PDI-P, mengulas pada 26 Ogos mengenai beberapa calon presiden yang secara diam-diam mula berkempen awal, mahu membina asas pengundi mereka.
Indonesia akan mengadakan pilihan raya umum, lima tahun sekali, pada 14 Februari 2024, dengan pendaftaran calon presiden dan naib presiden kepada suruhanjaya pilihan raya kebangsaan akan dibuka antara 19 Oktober dengan 25 November tahun depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg