Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

SUSULAN KUDETA DI MYANMAR

Parti Suu Kyi desak pemimpinnya dibebas

Feb 03, 2021 | 05:30 AM



YANGON: Parti Liga Demokrasi Kebangsaan Myanmar (NLD) yang dipimpin Cik Aung San Suu Kyi mendesak agar pemimpinnya itu dibebaskan dari tahanan sedang tentera Myanmar terus memperkukuh kuasa mereka.



Di samping itu, NLD yang menikmati kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada 8 November lalu, mendesak junta tentera supaya mengiktiraf kemenangan tersebut - sehari selepas tentera yang lebih dikenali sebagai 'Tatmadaw' itu melakukan rampasan kuasa yang dikecam dunia.



Bank Dunia semalam melahirkan keprihatinan mendalam akan perkembangan di Myanmar dan memberi amaran negara itu berdepan risiko besar dalam prospek pembangunannya.



"Kami prihatin tentang keselamatan dan jaminan terhadap rakyat Myanmar, termasuk kakitangan dan rakan-rakan kami, dan rasa tidak senang dengan langkah memutuskan saluran komunikasi baik untuk di dalam dan kepada dunia luar," kata bank itu semalam.



Amerika Syarikat pula mengancam akan melaksanakan semula sekatan ke atas jeneral Myanmar selepas mereka merampas kuasa dan memberkas Cik Suu Kyi, lapor agensi berita AFP.



Kedudukan pemenang Hadiah Keamanan Nobel itu masih belum diketahui, meskipun sesetengah warga Myanmar yang dihubungi Berita Harian semalam, mempercayai beliau dikenakan perintah tahanan dalam rumah.



Cik Suu Kyi kelmarin menggesa seluruh rakyat Myanmar menolak rampasan kuasa oleh pihak tentera dan membantah tindakan berkenaan.



Namun lewat malam kelmarin, pihak tentera telah mengumumkan seramai 24 menteri dan timbalan menteri di bawah kepemimpinan Cik Suu Kyi sudah dilucutkan jawatan.



Tatmadaw kemudian menamakan 11 pengganti untuk menyandang jawatan bagi portfolio kewangan, kesihatan, penerangan, ehwal luar negara, pertahanan dan ehwal dalam negeri.



"Tindakan pihak tentera adalah perbuatan untuk meletakkan Myanmar di bawah kepimpinan seorang diktator," menurut NLD dalam kenyataannya.



"Saya menggesa rakyat Myanmar supaya jangan menerima tindakan ini dan memberikan respons yang sewajarnya dengan menolak sekeras-kerasnya rampasan kuasa oleh pihak tentera ini," kata Cik Suu Kyi.



Pihak tentera telah menyerahkan kuasa pemerintahan kepada Jeneral Min Aung Hlaing dan mengumumkan tempoh perintah darurat selama setahun - sekali gus membenamkan hasrat rakyat Myanmar untuk menikmati kestabilan demokrasi di negara mereka.



Dalam pada itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar mengenai krisis politik di Myanmar semalam.



Mesyuarat yang diadakan melalui sidang video itu diadakan secara tertutup.



Utusan Khas PBB ke Myanmar, Cik Christine Schraner Burgener, memberi taklimat kepada 15 anggota majlis keselamatan itu mengenai perkembangan terkini krisis politik di Myanmar.



Antara lain, PBB melahirkan kebimbangan rampasan kuasa yang berlaku akan memburukkan lagi nasib sekitar 600,000 kaum Muslim Rohingya yang masih tinggal di negara itu.



"Terdapat kira-kira 600,000 kaum Rohingya yang masih berada di negeri Rakhine, termasuk 120,000 yang terkurung di kem penempatan dan tidak boleh bergerak bebas dan hadapi keterbatasan yang dahsyat bagi mendapatkan keperluan asas kesihatan dan khidmat pendidikan," kata jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, kepada wartawan yang ditukil agensi berita Reuters.



"Jadi kebimbangan kami adalah kejadian yang berlaku akan memburukkan keadaan mereka," ujarnya.



Wakil Britain di PBB, Cik Barbara Woodward, pula berkata kepada wartawan pihaknya berharap dapat melakukan perbincangan lebih konstruktif mengenai Myanmar termasuk menghormati kehendak rakyat menerusi pilihan raya umum dan membebaskan pemimpin berkenaan.



"Kita akan mempertimbangkan langkah-langkah yang perlu diambil bagi tujuan berkenaan," kata Cik Woodward.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >