DARFUR: Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera Sudan bersetuju dengan cadangan daripada Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab untuk melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan dan terbuka untuk rundingan mengenai pemberhentian permusuhan, kata kenyataan pasukan itu pada 6 November.
Kededua RSF dan tentera Sudan telah bersetuju dengan pelbagai cadangan gencatan senjata bagi menghentikan perang sejak dua setengah tahun lalu itu.
Pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, telah berkata ia sedang berusaha untuk menamatkan pertempuran di Sudan.
Pengumuman itu, yang tidak segera dijawab oleh tentera Sudan, dibuat kurang daripada dua minggu selepas RSF mengambil alih bandar al-Fashir yang dilanda kebuluran, mengukuhkan kawalannya ke atas wilayah barat Darfur yang luas.
“Pasukan Sokongan Pantas juga berharap dapat melaksanakan perjanjian itu dan segera memulakan perbincangan mengenai pengaturan untuk pemberhentian permusuhan dan prinsip asas yang membimbing proses politik di Sudan,” kata kenyataan RSF itu.
Awal minggu ini, Majlis Keselamatan dan Pertahanan yang diketuai tentera telah bermesyuarat tetapi tidak memberikan jawapan yang pasti terhadap cadangan tersebut, walaupun pemimpin dan sekutu berpengaruh dalam tentera telah menyatakan ketidaksetujuan mereka.
Seorang jurucakap Jabatan Negara Amerika berkata pada 6 November bahawa Amerika terus berinteraksi secara langsung dengan pihak-pihak tersebut untuk memudahkan gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan.
“Kami menggesa kededua pihak untuk bergerak ke hadapan sebagai tindak balas kepada usaha yang diketuai Amerika untuk memuktamadkan gencatan senjata kemanusiaan, memandangkan keperluan segera untuk mengurangkan keganasan dan menamatkan penderitaan rakyat Sudan,” kata jurucakap itu.
Amerika, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Mesir telah menyeru pada September supaya gencatan senjata kemanusiaan dilaksanakan selama tiga bulan di Sudan yang akan diikuti dengan gencatan senjata kekal.
Saksi berkata RSF membunuh dan menculik orang awam ketika dan selepas mengambil alih al-Fashir, termasuk menjalankan hukuman mati ringkas, yang membawa kepada kebimbangan antarabangsa.
Pemimpinnya menyeru para pejuang untuk melindungi orang awam dan berkata mereka yang melanggarnya akan didakwa.
Perang antara tentera Sudan dan RSF meletus pada April 2023 apabila kedua-dua pasukan, yang ketika itu berkongsi kuasa, bertelagah mengenai rancangan untuk mengintegrasikan pasukan mereka.
Konflik ini telah memusnahkan Sudan, membunuh puluhan ribu orang, menyebabkan kelaparan merebak di seluruh negara serta menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berlindung di kem-kem pelarian. –Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg