Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Paus Francis bergelut dengan krisis kewangan Vatican sebelum dimasukkan ke hospital

Feb 27, 2025 | 8:19 PM
Paus Francis yang sedang dirawat di hospital akibat radang paru-paru berganda, tidur lena sepanjang malam dan kini sedang berehat, menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh Vatican pada 27 Februari.
Pemimpin Katolik berusia 88 tahun itu kini memasuki hari ke-14 di Hospital Gemelli, Rome, selepas mengalami jangkitan pernafasan yang serius sehingga menyebabkan pelbagai komplikasi.
Paus Francis yang sedang dirawat di hospital akibat radang paru-paru berganda, tidur lena sepanjang malam dan kini sedang berehat, menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh Vatican pada 27 Februari. Pemimpin Katolik berusia 88 tahun itu kini memasuki hari ke-14 di Hospital Gemelli, Rome, selepas mengalami jangkitan pernafasan yang serius sehingga menyebabkan pelbagai komplikasi. - Foto REUTERS

VATICAN CITY: Ketika Paus Francis dimasukkan ke hospital kerana radang paru-paru berganda, beliau turut berdepan tentangan kuat daripada kardinal-kardinal dalam menangani krisis kewangan Vatican.

Dengan defisit belanjawan yang semakin melebar, usaha Paus untuk menyeimbangkan akaun gereja kini menjadi isu yang semakin meruncing.

Tiga hari sebelum dimasukkan ke hospital, Paus mengarahkan penubuhan “Suruhanjaya Derma untuk Holy See” sebagai langkah mendapatkan dana tambahan bagi menampung keperluan kewangan Vatican.

Keputusan ini diumumkan pada 26 Februari, ketika beliau masih dalam rawatan, sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian terhadap kekurangan dana gereja.

Namun, sumber dalaman mendedahkan bahawa langkah-langkah pemotongan belanjawan yang dicadangkan oleh Paus telah mendapat bantahan kuat daripada beberapa kardinal kanan dalam Roman Curia.

Dalam mesyuarat tertutup hujung tahun 2024, pemimpin jabatan Vatican menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pemotongan gaji serta usaha mendapatkan dana luar bagi menampung defisit gereja.

“Masalah bajet akan memaksa Vatikan untuk melakukan perkara yang mungkin tidak diingini,” kata Rev. Tom Reese, seorang paderi Jesuit yang banyak menulis tentang kewangan gereja.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Paus Francis telah berusaha untuk mengurangkan defisit dengan memotong gaji kardinal sebanyak tiga kali sejak 2021. Pada September 2024, beliau juga menggesa belanjawan “defisit sifar” sebagai sebahagian daripada reformasi kewangan gereja.

Namun, menurut sumber yang dipetik oleh Reuters, usaha ini masih gagal memberikan kesan besar. Akaun Vatican terakhir yang diluluskan pertengahan 2024 menunjukkan defisit sebanyak €83 juta ($116.6 juta), meningkat berbanding €33 juta pada 2022.

Paus sebelum ini mencadangkan agar pejabat gereja mencari dana luar bagi menampung kekurangan bajet. Namun, cadangan ini ditolak oleh beberapa kardinal yang bimbang langkah itu boleh menyebabkan konflik kepentingan dan menjejaskan integriti gereja.

Selain defisit operasi, Vatican juga berdepan liabiliti dana persaraan yang semakin meningkat. Anggaran terakhir yang didedahkan pada 2022 menunjukkan dana pencen gereja berjumlah €631 juta, tetapi beberapa pegawai mendakwa jumlah itu kini telah meningkat lebih tinggi.

“Jika anggaran jangka hayat pesara tidak dikemas kini dengan betul, ia boleh membawa masalah besar,” kata Encik Gregory Kearney, penyelidik dari Universiti Stanford yang mengkaji kegagalan dana pencen di Amerika Syarikat.

Vatican berdepan kekangan kewangan kerana ia tidak mempunyai kuasa untuk mengutip cukai, menerbitkan bon, atau mendapatkan pinjaman. Sumber pendapatan utama gereja bergantung kepada derma rasmi kepada Paus, portfolio pelaburan hartanah, dan hasil lawatan muzium Vatican.

Namun, pendapatan muzium Vatican mengalami kejatuhan ketara semasa pandemik Covid-19 dan baru kembali pulih sejak 2023. Pada 2024, Vatican melaporkan keuntungan €45.9 juta daripada pelaburannya, tetapi masih tidak mencukupi untuk menutup jurang defisit keseluruhan.

Salah satu cabaran terbesar ialah persepsi dalam kalangan penderma kaya Katolik. Dr Ed Soule, seorang profesor perniagaan dari Universiti Georgetown, memberi amaran bahawa penderma mungkin akan mengurangkan sumbangan mereka jika mengetahui dana tersebut digunakan untuk menampung pencen gereja dan bukannya untuk kebajikan.

“Sesetengah penderma tidak berminat jika wang mereka digunakan untuk membayar pencen yang tidak dibiayai dengan baik,” katanya.
Ini menimbulkan dilema bagi Paus dan Vatican, kerana keperluan untuk memastikan keseimbangan antara perbelanjaan operasi gereja dan kepercayaan penderma.

Harapan besar kini disandarkan pada sambutan Tahun Suci Katolik 2025 (Jubilee), yang dijangka menarik 32 juta pelawat ke Vatican sepanjang tahun tersebut. Pelancong yang melawat muzium Vatican dan menghadiri acara keagamaan dijangka menyumbang pendapatan besar bagi membantu mengisi defisit gereja.

Namun, Rev. Reese meragui bahawa jumlah itu mampu menutup sepenuhnya jurang kewangan Vatikan.
“Tahun Jubilee akan membawa masuk wang, tetapi ia tidak akan cukup untuk menutup defisit. Lagipun, Paus tidak mengenakan bayaran AS$1,000 setiap pengunjung,” katanya.

Sesetengah penganalisis mencadangkan bahawa Vatican mungkin terpaksa menjual sebahagian daripada hartanah pelaburannya untuk mengatasi kekurangan dana. Namun, langkah ini hanya akan menjadi penyelesaian sementara kerana ia akan mengurangkan pendapatan jangka panjang dari pelaburan hartanah. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg