Topik diikuti
Pergi ke BHkuPavilion S'pura mesra alam tarik perhatian lebih 8,000 pengunjung Expo 2020 Dubai
Pavilion S'pura mesra alam tarik perhatian lebih 8,000 pengunjung Expo 2020 Dubai
PAVILION Singapura di Expo 2020 Dubai menarik perhatian lebih 8,000 pengunjung pada acara pembukaan hujung minggunya dari Jumaat hingga Ahad (1-3 Oktober).
Ramai yang menggagahi lautan manusia bagi melalui sendiri perjalanan merentas kawasan menghijau dengan ekosistem berdikari yang menyepadukan alam, seni bina dan teknologi, lapor satu kenyataan Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).
Dengan tema "Alam. Mengasuh. Masa Depan.", Pavilion Singapura ini memaparkan landskap perbandaran tropikal yang subur, lengkap dengan bahan pameran dan program yang membuat anda mampu menyelami keadaan sebenar, di samping menggambarkan visi kota ini menjadi Kota dalam Alam yang meraikan semangat penginovasi berfikiran maju dari negara ini.
Expo 2020 di Dubai, Amiriah Arab Bersatu (UAE) ini berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.
Dengan tema 'Menghubungkan Minda, Mencipta Masa Depan', ekspo ini meraikan perkembangan dan pencapaian global utama dan menawarkan pengunjung 173 peluang mendakap teknologi, kesenian, sains, kebudyaaan, kreativiti, makanan dan minuman.
Ia juga wadah membincangkan cabaran global dan memupuk kreativiti, inovasi dan kerjasama dalam kalangan 192 negara anggota serta jutaan pengunjung.
Expo 2020 ini adalah ekspo dunia pertama yang dihoskan di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan (MEASA) dan dijangka menarik kunjungan 25 juta orang.
Pavilion Singapura ini mengisi ruang 1,550 meter persegi dalam Daerah Kemampanan tapak ekspo seluas 4.38 kilometer persegi di Dubai South, yang mengambil masa hanya 30 minit perjalanan dari Downtown Dubai dan kurang daripada perjalanan sejam daripada kedua-dua lapangan terbang antarabangsa Dubai dan Abu Dhabi.
Pavilion Singapura ini dianggap sebagai salah satu pavilion menghijau di ekspo ini dengan lebih 80,000 tanaman daripada 170 jenis tanaman, satu prototaip bagi membentangkan pengertian menjadi kota masa depan yang mampan, mampu hidup dan berdaya bingkas.
Pada waktu siang, anda boleh mengembara di pavilion ini sejajar dengan perjalanan di rimba dengan pancaran mentari siang hari kelihatan pada landskap menghijaunya.
Apabila mentari terbenam, pavilion ini menggambarkan pengalaman berbeza yang membangkitkan imej rimba mempesonakan, seakan mengajak pengunjung menjelajah ke kawasan yang menenangkan lagi mesra alam.