GENEVA: Hampir dua tahun selepas rampasan kuasa tentera di Myanmar, ketua kumpulan hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan amaran pada Jumaat lalu, bahawa negara itu telah terjerumus ke kancah malapetaka, dan beliau meminta supaya pihak berkuasa tentera itu diletakkan di bawah pengawasan awam.
Sejak rampasan kuasa yang menggulingkan pemerintahan awam pimpinan Cik Aung San Suu Kyi pada 1 Februari 2021, Myanmar menghadapi kemunduran dalam pelbagai aspek termasuk dari segi hak asasi manusia, kata Encik Volker Turk dalam satu kenyataannya.
"Walaupun sudah menjadi kewajipan undang-undang yang jelas bagi pihak tentera untuk melindungi orang awam dan tidak melakukan tindakan permusuhan, mereka malah tidak menghiraukan langsung peraturan undang-undang antarabangsa yang berkaitan," kata Encik Turk.
"Malah, jauh daripada dilindungi, orang awam telah dijadikan sasaran serangan - menjadi mangsa serangan sewenang-wenangnya dari darat dan udara, hukuman mati secara tidak adil, melakukan seksaan dan pembunuhan, serta membakar perkampungan awam," menurut kenyataan itu lagi.
Pejabat hak asasi PBB mengatakan sekurang-kurangnya 2,890 orang kehilangan nyawa di tangan pasukan tentera dan sekutu-sekutu mereka.
Dakwaan itu dibuat berdasarkan maklumat beberapa sumber yang boleh dipercayai.
Daripada jumlah itu, "sekurang-kurangnya 767 orang ditahan pada mulanya," menurut sumber itu, telah dibunuh oleh pihak tentera.
Pihak tentera juga telah menahan pemimpin negara yang dipilih secara demokratik dan beliau dipenjarakan, selain lebih 16,000 yang lain, menurut pejabat hak asasi PBB itu.
Sekitar 1.2 juta orang lagi telah kehilangan tempat kediaman sejak rampasan kuasa itu, sementara lebih 70,000 yang lain lari meninggalkan negara itu.
Mereka menyertai lebih sejuta orang yang melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar sepanjang beberapa tahun lalu, termasuk sebahagian besar penduduk kaum Rohingya yang beragama Islam.
"Harus ada penyelesaian terhadap malapetaka ini, yang sejauh ini hanya menunjukkan lebih banyak tindakan melanggar hak asasi setiap hari," ujar Encik Turk.
Beliau mengecam pihak junta tentera yang seolah-olah "menghina" persetujuan yang telah dicapainya dengan Asean untuk memberi kebebasan hidup kepada rakyat negara itu.
Keganasan berlaku secara meluas dan sudah tidak terkawal, kebebasan hak asasi sudah disekat, kata Encik Turk.
Beliau menggesa agar "mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan setiap hari ke atas orang awam dan pelanggaran hak asasi manusia, mesti dikenakan tindakan.
"Mana mungkin pasukan tentera, yang seharusnya melindungi negara, meletakkan rakyat negara itu dari pelbagai lapisan - termasuk yang kaya - hidup dalam keadaan terdesak," ujar beliau. - AFP.
"Walaupun sudah menjadi kewajipan undang-undang yang jelas bagi pihak tentera untuk melindungi orang awam dan tidak melakukan tindakan permusuhan, mereka malah tidak menghiraukan langsung peraturan undang-undang antarabangsa yang berkaitan." - Ketua kumpulan hak asasi PBB, Encik Volker Turk.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg