GENEVA: Ekonomi Jaluran Gaza kini sangat tenat, mengecut kepada kurang satu perenam daripada saiznya semasa perang Israel-Hamas bermula pada Oktober 2023, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kadar pengangguran di Tebing Barat, yang diduduki Israel, pula meningkat hampir tiga kali ganda.
Keadaan di dua wilayah Palestin itu mencerminkan cabaran besar yang dihadapi dalam usaha pembinaan semula, ujar laporan tersebut.
Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perdagangan dan Pembangunan PBB (Unctad) pada 12 September menggambarkan ekonomi Gaza sebagai “telah musnah” lebih 11 bulan selepas Israel melancarkan kempen ketenteraannya di wilayah tersebut.
Serangan berterusan Israel adalah sebagai tindak balas terhadap serangan maut oleh kumpulan Hamas pada 7 Oktober ke atas selatan negara itu.
Laporan tersebut turut menekankan bahawa Penguasa Palestin (PA), yang mentadbir sebahagian Tebing Barat, sedang berdepan tekanan besar yang menjejas keupayaannya untuk berfungsi.
Timbalan Setiausaha Agung Unctad, Encik Pedro Manuel Moreno, menyatakan bahawa “ekonomi Palestin berada dalam kejatuhan yang terus menjunam”, dan beliau menyeru masyarakat antarabangsa agar bertindak segera bagi menghentikan kemerosotan ekonomi itu serta menangani krisis kemanusiaan yang semakin memburuk.
Pengurangan bantuan antarabangsa dan tindakan Israel memotong dan menahan pendapatan – dianggarkan oleh Unctad sebanyak lebih $1.4 bilion ($1.82 bilion) sejak 2019 – turut memburukkan lagi keadaan.
Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, yang mengarahkan dana tersebut ditahan, menuduh PA menyokong serangan pada 7 Oktober.
PA, bagaimanapun menafikan, tuduhan tersebut.
Laporan itu turut menggambarkan kemerosotan ekonomi yang cepat dan membimbangkan di Tebing Barat, yang menyaksikan peningkatan keganasan sejak perang di Gaza bermula.
Lebih 300,000 pekerjaan telah hilang di Tebing Barat, menyebabkan kadar pengangguran melonjak daripada 12.9 peratus kepada 32 peratus.
Selain keganasan, sekatan perdagangan baru oleh Israel, seperti penambahan pusat pemeriksaan, turut dipersalahkan bagi kemerosotan itu.
Konflik semasa tercetus selepas serangan oleh Hamas pada 7 Oktober, yang mengorbankan lebih 1,400 orang Israel dan mencetus serangan balas oleh Israel yang mengorbankan lebih 41,000 penduduk Palestin setakat ini. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg