GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa 'tindakan bersama' bagi membanteras pencabulan hak asasi global yang dilihat terburuk dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia, Cik Michelle Bachelet, berkata tindakan bersama dan misi perubahan hidup perlu dilaksanakan untuk pulih daripada keruntuhan hak asasi manusia yang semakin parah ini.
Beliau turut mengetengahkan dilema yang berlaku di China, Russia dan Habsyah.
"Kemiskinan yang teruk, ketidakadilan dan ketidaksamaan semakin meningkat, ruang demokratik dan sivik juga semakin terhakis," katanya pada pembukaan Sidang ke-47 Majlis Hak Asasi Manusia PBB.
Beliau juga menzahirkan kebimbangan yang serius mengenai keadaan di beberapa buah negara termasuklah keganasan di utara Habsyah, Tigray, yang dilanda perang dengan 350,000 orang diancam kebuluran.
Cik Bachelet turut risau dengan isu keselamatan di Tigray di mana hukuman dan penahanan orang awam dilakukan dengan sewenang-wenangnya.
"Selain itu, penderaan seksual terhadap kanak-kanak dan dewasa serta pengusiran secara paksa terus berlaku, malah tentera Habsyah masih beroperasi di situ, berdasarkan satu sumber yang boleh dipercayai.
"Penempatan pasukan tentera secara berterusan bukanlah satu penyelesaian yang boleh bertahan lama," katanya yang menggesa dialog peringkat kebangsaan diadakan.
Cik Bachelet juga mempersoalkan mengenai kesan teruk akibat undang-undang keselamatan yang dilaksanakan mulai 1 Julai tahun lalu di Hong Kong.
"Seramai 107 orang ditahan di bawah Akta Keselamatan Kebangsaan dan 57 lagi sudah dituduh," katanya sambil menambah keputusan minggu ini akan menjadi ujian penting bagi badan kehakiman Hong Kong.
Beliau juga menyatakan harapan untuk melawat wilayah Xinjiang, China, pada tahun ini bagi menyiasat dakwaan pencabulan etnik minoriti di wilayah itu.
"Saya berterusan berbincang dengan China untuk mengadakan lawatan termasuk akses yang bermakna, ke wilayah autonomi Xinjiang dan menemui masyarakat Uighur di sana.
"Saya harap ini mampu dilaksanakan tahun ini," katanya yang turut menyuarakan kerisauan kerana pencabulan hak asasi dilaporkan terus meningkat.
Cik Bachelet juga mengkritik langkah Kremlin yang mengehadkan pandangan politik dan akses penyertaan dalam pilihan raya akan datang.
"Saya kecewa dengan tindakan terbaru cuba melemahkan hak orang ramai untuk berfikiran kritis dan menyertai pemilihan Parlimen yang dijadualkan September ini," katanya. - AFP.
"Kemiskinan yang teruk, ketidakadilan dan ketidaksamaan semakin meningkat, ruang demokratik dan sivik juga semakin terhakis." - Cik Michelle Bachelet, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg