GENEVA: Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menggesa negara-negara jiran Myanmar supaya berhenti daripada menghantar pulang secara paksa rakyat negara itu, dengan mengatakan "sejumlah besar orang" hidup menghadapi risiko.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR) berkata ia amat prihatin terhadap banyak laporan tentang pengusiran rakyat berkenaan - memaksa pelarian dan mereka yang ingin mendapatkan suaka itu pulang - sejak Februari 2021 dari negara-negara yang berjiran dengan Myanmar.
Agensi tersebut "merayu kepada negara-negara di rantau itu supaya menghentikan segera daripada memaksa rakyat Myanmar yang mencari perlindungan supaya pulang.
"Kami mengulangi seruan kepada negara-negara berkenaan agar terus menawarkan perlindungan kepada rakyat Myanmar yang melarikan diri demi menyelamatkan diri mereka.
"Ini termasuk juga menghentikan amalan penahanan orang-orang yang cuba mendapatkan suaka dan pelarian dari Myanmar," kata Cik Gillian Triggs, penolong pesuruhjaya tinggi UNHCR.
Negara di Asia Tenggara itu berada dalam keadaan huru-hara sejak berlaku rampasan kuasa tentera tahun lalu, dengan sebahagian besar negara itu dilanda pertempuran.
Lebih 2,300 orang terbunuh dalam gerakan tentera terhadap para penentang rejim itu, termasuk tindakan membakar kampung-kampung, melaksanakan hukuman mati secara tidak adil dan melancarkan serangan udara ke tempat-tempat awam.
Junta tentera itu menuduh pejuang-pejuang penentang kudeta sebagai penyebab kematian lebih 3,900 orang awam.
Cik Triggs berkata, keganasan yang berlaku itu telah memaksa orang awam melarikan diri.
Mereka harus dibenarkan mendapat suaka di luar negara dan dilindungi daripada tindakan memaksa mereka pulang, kata beliau. - AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg