RIYADH: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merakamkan penghargaan kepada Arab Saudi kerana menyalurkan sumbangan $500 juta ($713 juta) sebagai bantuan kemanusiaan kepada Yemen yang kini terjebak dalam peperangan.
Akhbar The Arab News hari ini melaporkan Putera Raja Arab Saudi Putera Mohammad bin Salman telah menerima panggilan telefon dari Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, yang melahirkan rasa terima kasih cukup mendalam atas pengumuman kerajaan Saudi menghulurkan bantuan tersebut, dalam usahanya membantu pihak-pihak yang bersengketa mencapai perjanjian damai yang diharapkan.
"PBB amat menghargai usaha murni Putera Raja dalam hal ini," kata Encik Guterres.
Setiausaha Agung itu juga memuji langkah Saudi dalam memimpin Kumpulan 20 negara (G20) atas daya usahanya membentangkan rangka kerja bagi usaha-usaha antarabangsa untuk menangani penularan wabak koronavirus.
Mengenai bantuan yang dihulurkan, Putera Raja Saudi mengesahkan hasrat Saudi dalam kesemua usaha untuk menjamin kepentingan, keselamatan dan kestabilan rakyat Yemen, dan menekankan Saudi akan terus memainkan perana dalam memelihara keselamatan dan kestabilan rantau itu dan dunia. - The Arab News
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg