Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PBB siap sedia jalan operasi bantuan buat Tonga

Jan 20, 2022 | 05:30 AM



FIJI: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang bersiap sedia menjalankan operasi bantuan buat Tonga dari jauh, demi mengelak penularan Covid-19 di negara kepulauan Pasifik itu yang terjejas teruk akibat letusan gunung berapi dan tsunami.



Semua rumah di salah sebuah pulau kecil di Tonga telah musnah dan tiga orang telah meninggal dunia, kata pemerintah dalam kenyataan pertamanya selepas letusan dahsyat Sabtu lalu - yang dianggap sebagai "bencana yang tidak pernah berlaku sebelum ini".



Dengan sistem perhubungan terjejas teruk akibat terputusnya kabel dasar laut, maklumat mengenai skala kemusnahan sejauh ini kebanyakannya didapatkan daripada pesawat peninjau.



Penyelaras PBB yang berpangkalan di Fiji, Encik Jonathan Veitch, berkata dalam taklimat media bahawa agensi itu akan menjalankan kebanyakan operasi dari jauh, dan mungkin tidak menghantar kakitangan ke pulau itu.



"Kami percaya kami akan dapat menghantar bekalan melalui penerbangan. Kami tidak pasti bahawa kami boleh menghantar penerbangan dengan kakitangan, sebabnya ialah Tonga mempunyai dasar bebas Covid yang sangat ketat," kata Encik Veitch.



Tonga adalah salah satu daripada beberapa negara yang bebas Covid-19 dengan wabak di situ akan membawa bencana, katanya.



Negara kepulauan kecil itu mempunyai 90 peratus kadar imunisasi dalam kalangan orang dewasa dan juga golongan muda berumur 12 tahun ke atas, kata Encik Veitch.



"Mereka amat berhati-hati membuka sempadan seperti kebanyakan pulau Pasifik lain, dan ini kerana sejarah wabak penyakit di Pasifik yang telah menghapuskan masyarakat di sini."



PBB mempunyai 23 orang di lapangan termasuk pertubuhan bukan pemerintah (NGO) antarabangsa lain untuk melakukan usaha bantuan, kata Encik Veitch.



Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan memulakan perbincangan dengan pemerintah Tonga "dengan cara yang berhati-hati, tetapi kami tidak akan melakukan apa-apa untuk mengancam keselamatan protokol mereka dan keselamatan penduduk mereka dari segi Covid".



Dr James Garvin, ketua saintis di Pusat Penerbangan Angkasa Goddard Nasa, berkata kekuatan letusan gunung berapi itu dianggarkan bersamaan dengan lima hingga 10 megaton TNT - kuasa letupan lebih 500 kali ganda bom nuklear yang dijatuhkan Amerika Syarikat di Hiroshima, Jepun, pada akhir Perang Dunia Kedua.



Pemerintah Tonga telah mula memindahkan penduduk yang terkandas di beberapa kawasan terpencil.



Bekalan air telah "serius terjejas" oleh abu gunung berapi dan merupakan kebimbangan utama, kata pejabat perdana menteri dalam satu kenyataan lewat kelmarin.



Tonga dijangka membuat permintaan rasmi bagi dapatkan bantuan tidak lama lagi.



Sementara itu, kapal New Zealand dan Australia telah berlepas dengan membawa bekalan air, pasukan peninjau dan helikopter.



Perdana Menteri Australia, Encik Scott Morrison, berkata pada sidang akhbar di Canberra bahawa beliau berharap dapat berbual dengan Perdana Menteri Tonga, Encik Siaosi Sovaleni, secepat mungkin.



"Ia adalah sekitaran yang sangat sukar untuk beroperasi, awan abu dan benda-benda seperti itu.



"Pasukan pertahanan kami telah meneruskan operasi mereka dan mengerahkan seperlunya, seperti yang diarahkan," kata Encik Morrison.



Pulau itu sebahagian besarnya masih sukar dihubungi selepas gunung berapi itu merosakkan satu-satunya kabel komunikasi optik bawah laut, yang mungkin mengambil masa beberapa minggu untuk dibaiki. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >