Topik diikuti
Pergi ke BHkuPBB: Tiada bukti terdapat program senjata biologi di Ukraine
NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan tiada bukti ditemui berhubung pelaksanaan program senjata biologi di Ukraine seperti yang didakwa Russia.
Russia melalui perwakilannya, Encik Vassily Nebenzia, meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat bagi membincangkan dakwaan Moscow bahawa Ukraine menjalankan aktiviti makmal senjata biologi dengan sokongan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS).
Negara anggota bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai 'pembohongan' dan 'karut', malah menggunakan sesi berkenaan untuk menuduh Russia sengaja menyasar serta membunuh ratusan orang awam di Ukraine tetapi dinafikan Moscow.
AS bersama sekutunya turut menuduh Moscow menyebarkan dakwaan tanpa bukti itu sebagai suatu kemungkinan langkah awal Russia ke arah melancarkan serangan biologi atau kimia.
Perwakilan Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Pelucutan Senjata, Cik Izumi Nakamitsu, memberitahu sidang Majlis Keselamatan bahawa PBB 'tidak mengetahui' sebarang program senjata biologi di Ukraine.
Sebelum ini Ukraine, Russia dan AS bersama 180 negara lain telah menyertai sekatan antarabangsa terhadap senjata seumpama itu.
Di bawah satu perjanjian pada 2005, Pentagon membantu beberapa makmal kesihatan awam Ukraine berhubung usaha meningkatkan keselamatan dalam penggunaan teknologi serta patogen berbahaya bagi tujuan penyelidikan.
Usaha berkenaan menerima sokongan daripada beberapa negara lain dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - Reuters.
