Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PERGOLAKAN DI MYANMAR

Pegawai PBB terkejut dengan laporan 35 terbunuh, mayat hangus

Dec 28, 2021 | 05:30 AM



NEW YORK: Seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata beliau amat terkejut dengan laporan yang boleh dipercayai bahawa sekurang-kurangnya 35 orang awam terbunuh dan mayat mereka dibakar di Myanmar.



Pihak PBB, katanya, menuntut pemerintah junta tentera negara itu segera melancarkan siasatan.



Dua pekerja kumpulan bukan mencari untung, Save the Children, masih hilang selepas kenderaan mereka adalah antara beberapa yang diserang dan dibakar dalam kejadian di wilayah Kayah, timur Myanmar.



Satu kumpulan pemantau dan media tempatan menyalahkan serangan itu ke atas tentera junta.



"Saya mengutuk kejadian yang menyedihkan ini dan semua serangan terhadap orang awam di seluruh negara," kata Setiausaha Rendah PBB bagi hal ehwal kemanusiaan, Encik Martin Griffiths, dalam satu kenyataan kelmarin.



Beliau turut menggesa diadakan "penyiasatan menyeluruh dan telus".



Myanmar berada dalam keadaan huru-hara sejak rampasan kuasa Februari lalu, dengan lebih 1,300 orang dilaporkan terbunuh dalam tindakan keras oleh pasukan keselamatan, menurut kumpulan pemantau tempatan.



Satu kumpulan antijunta tentera, Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF), muncul di serata negara untuk memerangi junta itu yang menyebabkan pertempuran berdarah.



Pada Sabtu lalu, beberapa gambar muncul di media sosial yang didakwa menunjukkan dua trak dan satu kereta terbakar di lebuh raya dekat bandar Hpruso di wilayah Kayah, dengan beberapa mayat hangus di dalamnya.



Seorang anggota kumpulan PDF tempatan berkata pejuangnya menemui kenderaan itu pada pagi Sabtu selepas mendengar tentera memberhentikan beberapa kenderaan di Hpruso selepas pertempuran dengan pejuangnya di kawasan berhampiran pada Jumaat.



"Apabila kami pergi meninjau kawasan itu paginya, kami dapati mayat hangus dalam dua lori. Kami menemui 27 mayat," katanya kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.



"Kami temui 27 tengkorak," kata seorang saksi lain yang tidak mahu namanya disiarkan, dan mengatakan terdapat mayat lain yang tidak dapat dikira.



Pertubuhan Save the Children berkata pada Sabtu bahawa dua kakitangan Myanmarnya telah "terperangkap" dalam kejadian itu dan hilang.



Kedua-duanya sedang dalam perjalanan pulang selepas menjalankan kerja kemanusiaan di wilayah itu, kata badan amal itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ia telah menggantung kerjanya di beberapa wilayah.



Junta Myanmar sebelum ini berkata tenteranya diserang di kawasan Hpruso pada Jumaat selepas cuba menghentikan tujuh kereta yang dipandu dengan "cara mencurigakan".



Pemantau Myanmar Witness berkata ia telah mengesahkan laporan media tempatan dan akuan saksi daripada pejuang tempatan "bahawa 35 orang termasuk kanak-kanak dan wanita telah dibakar dan dibunuh oleh tentera pada 24 Disember dekat bandar Hpruso".



Kumpulan PDF telah mengejutkan pihak tentera dengan keberkesanannya, kata penganalisis, sedang tentera bergelut untuk mematahkan penentangan terhadap pemerintahannya. - AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >