Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Peguam PM Pakistan kemuka hujah sekat usaha diguling pembangkang

Apr 07, 2022 | 05:54 AM



ISLAMABAD: Mahkamah tertinggi Pakistan semalam mendengar hujah pasukan undang-undang Perdana Menteri Imran Khan menyekat usaha pembangkang untuk menggulingkannya, langkah yang dibidas pengkritiknya sebagai tidak mematuhi perlembagaan dan membawa kepada fasa baru pergolakan politik di negara itu.



Encik Imran, bekas bintang kriket, kehilangan majoriti parlimen minggu lalu dan menghadapi undi tidak yakin yang dibentangkan oleh pembangkang yang beliau dijangka kalah Ahad lalu.



Namun timbalan Speaker Parlimen, yang merupakan anggota parti Encik Imran, menolak usul itu dengan memutuskan bahawa ia adalah sebahagian daripada konspirasi asing dan tidak mengikut perlembagaan. Encik Imran kemudian membubarkan parlimen.



Perbalahan itu telah menyebabkan krisis perlembagaan bagi negara bersenjata nuklear yang mempunyai 220 juta penduduk, yang diperintah oleh tentera untuk tempoh yang panjang sejak kemerdekaan pada 1947.



Pembangkang telah mencabar keputusan menyekat undi tidak yakin di Mahkamah Agung, yang mula membincangkan kes itu pada Isnin.



Mahkamah semalam mendengar daripada peguam untuk parti Tehreek-e-Insaf Pakistan (PTI) pimpinan Encik Imran.



Panel Mahkamah Agung yang terdiri daripada lima hakim tidak menyatakan bila ia akan memberi keputusan. Ia boleh mengarahkan Parlimen dibentuk semula, menggesa pilihan raya baru atau menghalang Encik Khan daripada memerintah jika beliau didapati melanggar perlembagaan.



Ia juga boleh memutuskan bahawa ia tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal Parlimen.



Tentera Pakistan sedang menghadapi desakan pembangkang yang semakin meningkat untuk mempertimbangkan kesahihan aduan Encik Khan mengenai rancangan asing terhadapnya, yang menurutnya didalangi oleh Amerika Syarikat.



Washington telah menolak tuduhan itu.



Seorang pemimpin kanan pembangkang, Cik Maryam Nawaz, berkata tentera harus menjelaskan jika ia telah memberitahu mesyuarat keselamatan peringkat atasan bahawa AS telah berkomplot dengan pembangkang untuk menjatuhkan pemerintah, seperti yang dikatakan oleh Encik Imran.



"Imran Khan telah menggunakan Jawatankuasa Keselamatan Negara untuk keuntungan politiknya," katanya.



Tentera Pakistan tidak mengesahkan atau menafikan tuduhan Encik Khan, tetapi seorang pegawai yang mengetahui perkara itu, yang enggan dikenali, memberitahu Reuters bahawa agensi keselamatan tidak menemui bukti yang boleh dipercayai untuk mengesahkan aduan Encik Khan tentang konspirasi.



Pihak tentera telah menyingkirkan pemerintah awam dan mengambil alih tiga kali, memetik keperluan untuk menamatkan ketidaktentuan politik, walaupun ia mengatakan ia tidak terlibat dalam politik.



Presiden Pakistan, Encik Arif Alvi, memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya supaya menetapkan tarikh untuk pilihan raya umum baru.



Sedang pihak pembangkang menggunakan sumbernya di mahkamah, Encik Imran sudah mula berkempen dengan memberitahu pekerja parti di Lahore lewat kelmarin bahawa beliau akan lebih berhati-hati dalam memilih calon untuk bertanding bagi PTI.



Masalah bagi Encik Khan bermula minggu lalu apabila sekumpulan anggota parlimen PTI memberontak mengancam mahu mengundi menentangnya, tetapi pakatan pemerintahnya yang rapuh memang sudah ada tanda-tanda terungkai.



Sama ada Suruhanjaya Pilihan Raya berupaya menganjurkan pilihan raya dalam tempoh 90 hari masih belum dapat dilihat, dengan kumpulan pemantau memberi amaran minggu ini tentang "kebimbangan besar" kemungkinan berlaku keganasan.



"Rangkaian Pilihan Raya Bebas dan Adil (FAFEN) telah mengenal pasti pelbagai cabaran perlembagaan, perundangan dan operasi terhadap pengendalian pilihan raya awal," kata kumpulan itu. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >