JAKARTA: Sekretariat presiden telah mula menyediakan pejabat baru di Ibu Kota Nusantara (IKN), Kalimantan Timur, bagi Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang ingin menghabiskan beberapa bulan terakhir jawatannya di ibu negara masa depan Indonesia itu.
Ketua Sekretariat, Encik Heru Budi Hartono, berkata pada 24 Julai bahawa Presiden Jokowi akan bekerja dari Nusantara mulai 28 Julai, dengan perasmian tol baru di kawasan itu.
“Persediaan sedang dijalankan. Kami sedang meletak perabot ke dalam pejabat untuk Presiden,” kata Encik Heru, lapor Jakarta Globe.
Selain pembelian perabot baru, termasuk kerusi, meja, lampu dan alat tulis, untuk pejabat, perabot lama dari Istana Negara di Jakarta akan digunakan juga, tambahnya.
Encik Jokowi berkata sebelum ini rancangannya untuk memindahkan pejabatnya ke Nusantara pada awal Julai telah ditangguhkan kerana kekurangan peralatan dan kemudahan.
Selain menyiapkan Pejabat Presiden, Sekretariat itu sedang memuktamadkan persiapan sambutan Hari Kemerdekaan ke-79 Indonesia, yang akan diadakan di kedua-dua lokasi, IKN dan Jakarta.
Mengenai perincian acara sambutan itu, Encik Heru berkata pemerintah akan mengadakan sidang media pada hujung Julai.
Setakat ini, katanya, mengikut rencana awal, sambutan Hari Kemerdekaan dimulakan dengan peringatan nasional pada 1 Ogos, kemudian diteruskan dengan acara lain, termasuk penghormatan yang diberikan Presiden Jokowi pada 15 Ogos.
Presiden Jokowi sebelum ini berkata beliau bersedia untuk mula bekerja dari IKN secepat mungkin, jika semua aspek yang diperlukan sudah dipenuhi.
Projek membina ibu kota baru itu dianggarkan menelan belanja AS$33 bilion ($44.3 bilion), dengan bajet negara akan menanggung 20 peratus daripadanya.
Pentadbiran Encik Jokowi sangat bergantung pada pelaburan sektor swasta untuk membina infrastruktur utama dan kemudahan awam di IKN.
Belanjawan negara, terutamanya, akan meliputi pembinaan infrastruktur asas, bangunan dan utiliti dalam “kawasan teras” pemerintah.
Encik Jokowi berkata mungkin mengambil masa 25 tahun untuk melengkapkan IKN sebagai bandar baru.
Penggal kedua dan terakhir Presiden Jokowi akan tamat pada 20 Oktober, apabila bakal presiden, Encik Prabowo Subianto, akan mengangkat sumpah jawatan, bersama bakal Naib Presiden, , Encik Gibran Rakabuming Raka, yang juga anak sulung Encik Jokowi. – Agensi berita.
Encik Prabowo belum mengesahkan sama ada beliau akan segera bekerja dari IKN apabila menjadi presiden. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg