Pekerja MAS terima surat Isnin, 4,500 dilepaskan pada 31 Ogos ini, Berita Dunia - BeritaHarian.sg
Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Dunia0

Pekerja MAS terima surat Isnin, 4,500 dilepaskan pada 31 Ogos ini

May 29, 2015 | 12:22 PM

KUALA LUMPUR - Seramai 4,500 kakitangan Malaysia Airlines (MAS) bakal meninggalkan syarikat itu pada 31 Ogos, dan kira-kira 1,500 lagi secara berperingkat-peringkat mengikut tempoh tamat kontrak masing-masing.

Semua mereka akan menerima surat penamatan kerja beserta pakej pampasan pada Isnin ini.

Pekerja yang menerima surat tawaran kerja akan menyambung kerjaya mereka di Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Menurut surat pekeliling yang ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Encik Christoph Mueller, notis pemberitahuan mengenai pakej berkenaan telah dihantar kepada seluruh pekerjanya pada 26 Mei lalu.

Pakej pampasan yang disediakan untuk kakitangan MAS adalah berlandaskan prinsip keadilan dan keprihatinan terhadap kebajikan kakitangan seperti digariskan dalam Pelan Pemulihan MAS.

Discover Malay Home Based Businesses

Menurut sumber terdekat, ia termasuk faedah perubatan selama 12 bulan di samping bayaran khas tambahan kepada golongan memerlukan bantuan lebih seperti kakitangan orang kurang upaya (OKU) yang tidak mendapat tawaran pekerjaan bersama MAB.

Selain pakej itu ujarnya, Pusat Pembangunan Korporat (CDC) telah ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan latihan serta bantuan mendapatkan pekerjaan baharu secara percuma buat kakitangan yang akan meninggalkan MAS.

"Kesemua ini disediakan bukan disebabkan tekanan dari mana-mana pihak, tapi atas dasar kemanusiaan.

"Pakej ini memperlihatkan penghargaan syarikat terhadap sumbangan kakitangan yang terlibat membina MAS sebagai ikon kebangsaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

CDC berperanan sebagai pusat latihan selain dapat membantu mereka terlibat untuk merancang kerjaya bagi fasa seterusnya.

Antara intipati pakej tersebut adalah pembayaran asas yang akan diberi kepada semua pekerja MAS berdasarkan tempoh perkhidmatan didarab dengan kumpulan gred masing-masing.

Selain bayaran asas itu, kakitangan yang tidak menerima surat tawaran ke MAB akan diberi pembayaran Ex-Gratia dengan jumlah berbeza.

Bagi mereka yang berkhidmat sehingga 10 tahun akan menerima satu bulan gaji asas untuk setiap tahun perkhidmatan.

Kakitangan yang bekerja lebih 10 tahun manakala menerima satu bulan setengah gaji asas bagi setiap tahun perkhidmatannya.

Pekerja yang sedang mempunyai kontrak pekerjaan jangka tetap tidak layak bagi pembayaran Ex-Gratia.

Kakitangan pengurusan kanan syarikat termasuk Naib Presiden dan yang lebih tinggi adalah tertakluk kepada pakej pampasan berbeza.

Pekerja MAS yang tidak ditawarkan jawatan kekal di MAB akan terus menerima faedah perubatan bagi tempoh 12 bulan dari tarikh mereka keluar atau sehingga mereka mendapat pekerjaan baharu, yang mana lebih awal. - UTUSAN ONLINE.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map