Pekerja migran jadi mangsa dalam konflik di Asia Barat
ABU DHABI: Ketika konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel semakin merebak di Asia Barat, golongan yang paling terdedah kepada kesan peperangan ini bukanlah tentera atau pemimpin politik, tetapi jutaan pekerja migran yang menjadi tulang belakang ekonomi negara-negara Teluk.
Kisah Encik Murib Zaman, seorang pemandu warga Pakistan yang bekerja di Amiriah Arab Bersatu (UAE) selama lebih dua dekad, menggambarkan realiti pahit tersebut.
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu tinggal lebih 1,600 kilometer jauh daripada keluarganya di wilayah barat laut Pakistan, sambil menghantar sekitar AS$300 ($378) setiap bulan untuk menyara keluarganya.
Namun kehidupannya berakhir secara tragis apabila beliau terbunuh selepas serpihan peluru berpandu yang dipintas jatuh berhampiran tempat kerjanya, menurut kenyataan pihak berkuasa UAE.
Berita itu mengejutkan keluarganya di kampung halaman yang selama ini menganggap negara Teluk jauh lebih selamat berbanding kawasan mereka yang sering dilanda keganasan.
“Setiap keluarga di sini mahu menghantar anak mereka bekerja di Timur Tengah kerana sukar mendapatkan pekerjaan dan keadaan keselamatan di kampung kami tidak menentu,” kata sepupunya,Encik Farman Khan, dalam temu bual telefon.
“Tetapi kini nampaknya negara-negara itu juga tidak lagi sepenuhnya selamat,” tambahnya.
Berjuta-juta pekerja asing seperti Encik Zaman memainkan peranan penting dalam ekonomi negara-negara Teluk yang kaya dengan minyak dan gas, tetapi sangat bergantung kepada tenaga kerja luar.
Sejak perang antara Iran dengan gabungan Amerika Syarikat dan Israel bermula, Iran telah melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke arah beberapa negara Teluk sebagai tindak balas.
Walaupun Teheran menyatakan bahawa sasaran mereka ialah pangkalan tentera Amerika dan kepentingan strategik Washington, serangan tersebut turut memberi kesan kepada kawasan awam.
Menurut kiraan berdasarkan sumber rasmi, sekurang-kurangnya 11 orang awam terbunuh dalam serangan di UAE, Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Oman dan Bahrain.
Serangan peluru berpandu Iran juga telah merosakkan beberapa kemudahan awam, termasuk hotel mewah dan sebuah loji penyahgaraman air laut yang penting bagi bekalan air di rantau tersebut.
Selain itu, walaupun sistem pertahanan udara negara-negara Teluk berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu dan dron, serpihan daripada peluru berpandu yang dimusnahkan sering jatuh ke kawasan berpenduduk.
Serpihan inilah yang menjadi punca kepada banyak kematian orang awam.
Di Kuwait, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun terbunuh selepas serpihan peluru berpandu jatuh ke atas rumahnya.
Kanak-kanak itu dikenali sebagai Elna Abdullah Nea, seorang warga Iran yang tinggal di negara tersebut.
Sementara itu di Arab Saudi, seorang pekerja pembersihan warga Bangladesh, Encik Mosharraf Hossain, maut bersama seorang rakan sekerja selepas objek yang digambarkan sebagai “projektil ketenteraan” jatuh berhampiran kawasan perumahan pekerja mereka.
Menurut sepupunya, Encik Mizanur Rahman, kematian tersebut meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya.
“Kematian beliau menyebabkan keluarganya kini berdepan masa depan yang tidak menentu,” katanya.
“Mereka amat bimbang tentang masa depan anak-anaknya kerana beliau merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga.”
Walaupun perhatian antarabangsa sering tertumpu kepada pelancong atau warga Barat yang meninggalkan rantau tersebut, hakikatnya sebahagian besar penduduk negara Teluk adalah pekerja migran dari Asia, Afrika dan negara Asia Barat yang lain.
Di Arab Saudi, kira-kira satu pertiga penduduk adalah warga asing.
Di UAE dan Qatar pula, warga asing membentuk antara 80 hingga 90 peratus daripada jumlah penduduk.
Namun pekerja migran bergaji rendah dianggap paling terdedah apabila konflik semakin meluas.
Ramai daripada mereka tinggal di asrama pekerja yang padat dengan laluan keluar yang terhad, menjadikan mereka lebih berisiko sekiranya berlaku letupan atau kebakaran.
Selain itu, pekerjaan mereka sering melibatkan sektor penting seperti pembersihan, penghantaran barang, peruncitan dan pengangkutan yang memerlukan mereka terus bekerja walaupun keadaan keselamatan tidak menentu.
Encik Majid Ali, seorang pekerja Pakistan yang bekerja di sebuah syarikat tenusu di Dubai, berkata beliau dan rakan-rakannya sering panik setiap kali terdengar bunyi letupan.
“Setiap kali berlaku letupan atau peluru berpandu dipintas, kami berlari keluar dari kem pekerja untuk cuba menyelamatkan diri,” katanya.
“Tetapi kami tidak tahu ke mana harus pergi atau di mana tempat yang selamat.”
Menurutnya, sejak perang bermula pada 28 Februari, bunyi letupan hampir kedengaran setiap hari di kawasan tempat tinggal mereka.
“Kami takut serpihan itu akan jatuh ke atas kami dan membunuh kami,” katanya.
Walaupun serangan terus berlaku, kehidupan di bandar seperti Dubai masih berjalan hampir seperti biasa.
Di pusat beli-belah Dubai Hills Mall, keluarga masih beratur untuk makan tengah hari dan kanak-kanak bermain di kawasan permainan dalaman.
Sesekali bunyi letupan kedengaran dari kejauhan, tetapi kebanyakan orang hanya melihat amaran kecemasan di telefon mereka sebelum kembali kepada aktiviti masing-masing.
Namun tidak semua pekerja migran mempunyai pilihan untuk meninggalkan negara tersebut.
Bagi golongan bergaji rendah, kontrak pekerjaan, hutang dan tanggungjawab keluarga menjadikan mereka terpaksa terus bekerja walaupun berdepan risiko keselamatan.
Bagi Cik Marigold Tan, seorang pekerja e-dagang dari Filipina yang tinggal di Dubai, keputusan untuk kekal di UAE bukanlah mudah.
“Sebagai ibu, saya cuba kekal tenang demi anak-anak,” katanya.
Walaupun keluarganya di Manila menggesa beliau pulang, Cik Tan masih merasakan Dubai menawarkan keselamatan dan peluang yang lebih baik berbanding negara asalnya.
“Saya masih berasa lebih selamat di sini, terutama dari segi keselamatan dan penjagaan kesihatan,” katanya.
Kini mereka sentiasa membawa pasport bersama dan memastikan anak-anak tahu apa yang perlu dilakukan jika amaran serangan dikeluarkan.
“Apabila siren berbunyi, saya beritahu anak saya: bawa adik kamu ke lorong dan jauhkan diri dari tingkap,” katanya.
Bagi jutaan pekerja migran di Asia Barat, peperangan ini bukan sekadar konflik geopolitik yang jauh dari kehidupan harian.
Ia adalah realiti yang mereka hadapi setiap hari, sambil terus bekerja demi keluarga yang bergantung kepada kiriman wang mereka di tanah air. – Agensi berita.

