Pelajar Serbia bersatu rentas etnik, agama dalam protes terbesar sedekad
Pelajar Serbia bersatu rentas etnik, agama dalam protes terbesar sedekad
NOVI PAZAR, Serbia: Perjalanan Cik Merima Avdic merentasi lebih 400 kilometer dari Novi Pazar ke Novi Sad pada November 2025 lalu menjadi simbol kebangkitan gerakan protes terbesar dan paling berpanjangan di Serbia dalam tempoh beberapa dekad, sekali gus memperlihatkan penyatuan etnik dan generasi yang jarang berlaku dalam sejarah negara Balkan itu.
Dengan memegang bendera Serbia di tangan, Cik Avdic menyeberangi jambatan merentasi Sungai Danube menuju ke Novi Sad, disambut sorakan puluhan ribu pelajar dan orang awam. Bunga api menerangi langit, menandakan kemuncak perjalanan panjang yang bermula dari wilayah Sandzak di barat daya Serbia, kawasan majoriti Muslim tempat Cik Avdic dibesarkan.
Protes besar-besaran itu tercetus susulan tragedi runtuhan bumbung sebuah stesen kereta api di Novi Sad setahun lalu yang mengorbankan 16 nyawa. Insiden tersebut mencetuskan kemarahan rakyat dan tuntutan supaya pemerintah berundur, di tengah-tengah dakwaan rasuah serta kegagalan akauntabiliti yang didakwa menjadi punca piawaian pembinaan yang lemah. Pemerintah Serbia bagaimanapun menafikan dakwaan wujudnya salah guna kuasa negara yang membawa kepada tragedi berkenaan.
Bagi Cik Avdic, seorang pelajar daripada minoriti Muslim Bosnia (Bosniak) yang kecil di Serbia, penyertaan dalam protes di Novi Sad membawa makna peribadi yang mendalam. “Ketika tiba di Novi Sad, saya akhirnya berasa seperti saya benar-benar tergolong dalam negara ini,” katanya.
“Sepanjang perjalanan, saya terkejut melihat begitu ramai orang yang menyokong kami dan keluar untuk memberitahu bahawa kami tidak bersendirian,” katanya kepada Reuters. “Seorang lelaki dari Kosjeric memberikan benderanya kepada kami kerana kami tidak memilikinya. Dengan bendera itu, kami berarak memasuki Novi Sad.”
Umat Islam membentuk kira-kira empat peratus daripada penduduk Serbia, dan lebih separuh daripada mereka menetap di Sandzak. Komuniti ini telah hidup berkurun lamanya di rantau tersebut, termasuk melalui tempoh peperangan, kebangkitan nasionalisme Serbia dan konflik etnik yang memecah belahkan bekas Yugoslavia.
Namun, gelombang protes yang melanda Serbia sepanjang setahun lalu diterajui oleh pelajar telah menyatukan rakyat merentasi garis etnik dan usia, didorong oleh tuntutan bersama untuk pembaharuan dan penamatan rasuah.
Di beberapa tempat, semangat perpaduan itu paling ketara di Universiti Negeri Novi Pazar, di mana komuniti yang pernah berdepan diskriminasi dan tekanan negara kini merasakan diri mereka diterima dalam gerakan perubahan yang lebih luas.
Ditubuhkan pada 2007, universiti tersebut yang pertama di rantau itu memberi akses kepada pendidikan tinggi awam kepada komuniti Bosniak buat pertama kali. Namun, penerimaan di peringkat nasional mengambil masa lebih lama.
Cik Avdic merasakan perubahan itu secara langsung sepanjang perjalanan ke Novi Sad. Para pelajar bahkan bermalam di sebuah biara Ortodoks zaman pertengahan di Studenica dan dihidangkan sarapan halal sesuatu yang menurutnya “tidak terbayang” berlaku 25 tahun lalu.
Terletak di antara Bosnia, Montenegro dan Serbia, penduduk Muslim Sandzak – yang mengamalkan Islam secara lebih sederhana dengan hanya sebilangan kecil wanita bertudung – sekian lama berasa terpinggir. Pada 1991, sebanyak 99 peratus pengundi di Sandzak mengundi menyokong autonomi daripada Serbia dalam satu referendum tidak mengikat.
“Dalam tempoh 30 tahun lalu, Novi Pazar diketepikan, orang ramai hidup dalam ketakutan dan tidak pernah bangkit,” kata Cik Avdic. “Saya bangga dengan diri saya dan rakan-rakan kerana kami memecahkan prasangka dan menunjukkan bahawa kami mahu hidup di negara ini.”
Satu gambar yang dirakam semasa protes di bandar Kraljevo, di tengah Serbia, menjadi tular di media sosial. Foto itu memperlihatkan Cik Nadija Delimedjac, seorang pelajar bertudung dari Novi Pazar, berdiri di sebelah Encik Sava Nikolic dari Cuprija yang memakai topi tradisional Serbia. Imej tersebut dengan cepat menjadi simbol perubahan yang dibawa oleh gerakan pelajar.
Protes pelajar di Universiti Novi Pazar juga menonjol kerana ketahanannya. Sekatan selama setahun terhadap universiti itu – yang menyebabkan kuliah terhenti – hanya berakhir lebih seminggu lalu, selepas pihak berkuasa menggantikan rektor universiti dan membatalkan penggantungan terhadap 200 pelajar yang sebelum ini dipecat kerana aktivisme anti-pemerintah.
Sekatan itu berlarutan lebih lama berbanding kebanyakan universiti lain di Serbia, dengan pelajar terus menduduki bangunan walaupun pihak berkuasa memutuskan bekalan pemanas.
“Saya benar-benar terkesan dengan pengorbanan yang mereka lakukan,” kata Encik Muamer, bapa kepada Delimedjac, merujuk kepada perarakan ke Novi Sad. “Kepelbagaian adalah kekuatan kita.”
Walaupun tuntutan utama protes berkisar kepada akauntabiliti pemerintah dan pembaharuan institusi, kisah Cik Avdic dan rakan-rakannya telah membuka dimensi lain: persoalan identiti, penerimaan dan masa depan bersama dalam sebuah negara yang pernah terbelah oleh sejarah.
Bagi ramai pemerhati, kebangkitan pelajar ini bukan sekadar reaksi terhadap satu tragedi, tetapi cerminan keinginan generasi muda Serbia untuk membina masyarakat yang lebih adil, inklusif dan bebas daripada bayang-bayang konflik lampau.
Seperti yang ditegaskan Cik Avdic, perjalanan beratus kilometer itu bukan sekadar perarakan fizikal. “Ia adalah perjalanan untuk menunjukkan bahawa kami semua, tanpa mengira latar belakang, mahukan perubahan yang sama dan masa depan yang lebih baik di negara ini,” katanya.

