SEBELUM wabak melanda, terminal feri di Nongsapura Batam sering dipenuhi penumpang, ramai yang tiba dari Singapura untuk bermain golf, mengunjungi tarikan riadah atau berinap di Batam.
Bagi pemandu teksi seperti Zaljasli, 50 tahun, pengunjung dari Singapura membentuk majoriti pelanggannya, lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Oleh itu, pengunjung luar negara menyumbang sebahagian besar pendapatan hariannya.
Wabak Covid-19 mengubah segalanya.
Sekatan sempadan bagi mencegah penularan Covid-19, menutup aliran pengunjung ke Batam.
"Kalau dulu saya boleh dapat 300,000 rupiah ($28) sehari kini nak dapat untuk isi minyak pun tak cukup," keluh beliau.
"Anak saya dua masih kuliah, pusing kepala cari wang untuk kuliah anak," kata Encik Zaljasli, yang seperti ramai warga Indonesia hanya mempunyai satu nama.
Sebagai pasaran yang sangat bergantung pada pelancong dari luar negara, Batam antara kawasan yang amat terjejas oleh Covid-19 bahkan pada awal bulan 2020.
Dengan pengisytiharan wabak, serta penutupan sempadan dan pengenaan sekatan, ekonomi pelancongan Asia Tenggara dijangka akan terus terjejas buat beberapa bulan akan datang.
Menurut laporan Kesan Covid-19 ke atas Industri Pelancongan Asia Tenggara oleh Pear Anderson, kedatangan pelancong ke Indonesia telah merosot 75 peratus.
Usahawan seperti Encik Steven Japari juga mengalami kesan Covid-19.
Encik Steven, yang juga Ketua Divisyen Golf Sinarmas Land, berkata pihaknya menghadapi cabaran meneruskan operasi mereka.
Memberikan contoh, Palm Springs Golf & Country Club di Batam, yang sering dikunjungi penggiat golf dari Singapura dan Malaysia, kini kelihatan lengang.
"Palm Springs menghadapi masa yang mencabar untuk bertahan sejak sempadan ditutup," kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini.
Akibat kurang pelanggan, kakitangan kelab itu terpaksa dikurangkan sebanyak 50 peratus tambah beliau.
Menurut beliau, kelab itu masih bertahan sehingga hari ini kerana pemegang saham masih berupaya menyuntik dana untuk meneruskan operasi.
"Pasaran tempatan kami tidak begitu kuat tetapi masih berupaya menyumbang pendapatan bagi kami." ujar beliau.
Justeru, komen Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Encik Sandiaga Uno, mahu membuka semula kawasan pelancongan Nongsa di Batam dan Lagoi di Bintan kepada pengunjung dari Singapura, memberi sinar harapan kepada usahawan seperti Encik Japari dan warga Batam seperti Encik Zaljasli.
Hujung minggu lalu, Encik Sandiaga berkata provinsi Indonesia yang paling dekat dengan Singapura, Kepulauan Riau, termasuk Batam dan Bintan, adalah daerah yang paling siap dibuka kembali untuk pelancong dari negara-negara jiran.
Ini kerana jangkitan koronavirus telah menurun dan stabil, kata Encik Sandiaga.
Menurut laman pemerintah Kota Batam, lagi enam warga kota itu disahkan menghidap Covid-19 kelmarin. Sejauh ini seramai 6,035 warga kota itu telah dijangkiti, dari bilangan itu 154 telah meninggal dunia.
Melihat angka keseluruhan pula, Indonesia kelmarin melaporkan 5,744 kes baru dan lagi 161 pesakit meninggal dunia. Seramai 39,711 pesakit di Indonesia telah meninggal dunia.
Jakarta mencatat 1,474 kes baru, Jawa Barat 1,253, Jawa Tengah 741, Banten 440 dan Jawa Timur 270.
Tidak ada kes positif baru ditemukan di dua provinsi, iaitu Kalimantan Barat dan Sulawesi Tenggara.
Dalam kunjungannya ke Batam, Encik Sandiaga turut mendedahkan rancangan pemerintah Indonesia mahu membuka kembali tempat pelancongan di Nongsa (Batam) dan Lagoi (Bintan) pada 21 April.
Tempat pelancongan utama Bali, pula diharap dapat dibuka semula pada Jun atau Julai tahun ini.
"Batam dan Bintan jauh lebih bersedia," kata Encik Sandiaga.
Membuka kembali Kepulauan Riau akan membuka jalan bagi Indonesia untuk memiliki "koridor perjalanan yang selamat" dengan Singapura, katanya.
Menukil arahan Presiden Joko Widodo, Encik Sandiaga berkata bahawa sempadan antarabangsa di seluruh Nusantara secara beransur-ansur dapat dibuka kembali, dengan mempertimbangkan seberapa usaha berkesan untuk mengekang penyebaran Covid-19 telah di berbagai wilayah.
Indonesia memiliki beberapa pintu masuk yang dapat dilalui oleh pelancong asing, seperti Batam, yang mempunyai aturan feri ke Singapura. Bali pula mempunyai penerbangan langsung ke beberapa negara, dan Manado di Sumatera Utara, dihubungkan melalui udara dengan China.
Laluan terus menghubungkan Singapura dengan Nongsapura di Batam dan dengan terminal feri Bandar Bintan Telani di Bintan.
"Angka jangkitan Covid-19 di provinsi Kepulauan Riau telah rata dan stabil, dan di dua tempat pelancongan Nongsa dan Lagoi, belum ada jangkitan baru," kata Encik Sandiaga.
" Harapan kami adalah kita dapat terus memastikannya tetap rendah dan terkawal (di sana).
"Mana-mana pelancong asing yang masuk ke Indonesia melalui provinsi ini harus menunjukkan hasil ujian PCR (reaksi berantai polimerase) negatif dan akan disaring semasa ketibaan menggunakan GeNose, sistem ujian nafas Covid-19.
Teknologi maklumat juga akan digunakan untuk memantau pergerakan para pelancong, tambah Encik Sandiaga.
Sebagai bagian dari persiapan untuk koridor perjalanan yang selamat, pemerintah Indonesia telah meningkatkan vaksinasi di Batam dan Bintan, menyasarkan agar 30,000 pekerja pelancongan diberi vaksin menjelang April.
Sabtu lalu misalnya, seramai 1,500 pekerja pelancongan di Batam dan 2,000 di Bintan diberi suntikan vaksin Covid-19.
Biar demikian Jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata Singapura tidak dapat memberi komen tentang rancangan membuka sempadan itu.
Di Parlimen awal bulan ini, Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura dan Indonesia terus bekerjasama dalam pemulihan daripada pandemik Covid-19.
Perjalanan selamat merupakan antara bidang kerjasama antara dua negara itu, selain kesihatan awam, pertumbuhan ekonomi, pelaburan, dan kewangan, kata Dr Balakrishnan semasa perbahasan belanjawan MFA.
Singapura dan Indonesia melancarkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) pada Oktober tahun lalu untuk menyambung kegiatan perniagaan dan pertukaran antara rakyat secara selamat.
Namun apabila jangkitan meningkat, RGL itu dihentikan.
"Meskipun RGL itu buat masa ini dihentikan, kami menantikan untuk bekerjasama dengan Indonesia bagi menyambungnya apabila kedua-dua pihak bersedia berbuat demikian dan pandemik ini lebih terkawal," kata Dr Balakrishnan pada waktu itu.
Mengharapkan yang terbaik Encik Steven berkata:
"Jika sempadan dibuka kami berupaya "cukup makan" untuk menampung operasi kami. Pembukaan sempadan akan juga membuka peluang bagi kami mengambil semula pekerja.
Bagi Encik Zaljasli pembukaan sempadan bermakna lebih ramai pelanggan akan menggunakan teksinya dan peluang bagi beliau mencari rezeki akan menjadi lebih cerah.
"Palm Springs menghadapi masa yang mencabar untuk bertahan sejak sempadan ditutup. Akibat kurang pelanggan kakitangan kelab terpaksa dikurangkan sebanyak 50 peratus. Kami masih dapat bertahan sehingga hari ini kerana pemegang saham masih berupaya menyuntik dana untuk meneruskan operasi." - Encik Steven Japari, Ketua Divisyen Golf Sinarmas Land, yang mengendalikan Palm Springs Golf & Country Club di Batam
"Kalau dulu saya boleh dapat 300,000 rupiah ($28) sehari, kini nak dapat untuk isi minyak pun tak cukup. Dua anak saya masih kuliah, pusing kepala cari wang untuk kuliah anak." - Pemandu teksi Batam Encik Zaljasli


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg