Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelan pemulihan Covid-19 peringkat negeri di M'sia lebih wajar, adil: Pengamat

Jul 21, 2021 | 5:30 AM
MAHU DIBERI VAKSIN: Orang ramai beratur di pusat vaksinasi di Shah Alam untuk mendapatkan vaksin Covid-19 mereka. Selangor mencatatkan kes harian tinggi yang memburukkan keadaan Covid-19 di Malaysia dan 'menjejas' negeri lain di Malaysia yang tidak mempunyai kes jangkitan yang tinggi. - Foto EPA-EFE
MAHU DIBERI VAKSIN: Orang ramai beratur di pusat vaksinasi di Shah Alam untuk mendapatkan vaksin Covid-19 mereka. Selangor mencatatkan kes harian tinggi yang memburukkan keadaan Covid-19 di Malaysia dan 'menjejas' negeri lain di Malaysia yang tidak mempunyai kes jangkitan yang tinggi. - Foto EPA-EFE -

SELEPAS mendapat maklum balas pelbagai pihak termasuk golongan pakar perubatan dan keluhan rakyat, kerajaan Malaysia baru-baru ini membuat perubahan pada Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkaitan Covid-19.

Ia kini dilaksanakan di peringkat negeri, berbanding PPN seluruh negara sebelumnya.

Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semasa mengumumkan perubahan itu baru-baru ini berkata langkah itu dilihat lebih adil untuk dilaksanakan agar negeri yang tidak begitu terjejas oleh wabak koronavirus tidak terkesan akibat jumlah kes harian tinggi di negeri lain seperti Selangor.

Lima negeri terawal yang beralih ke Fasa Kedua PPN kerana memenuhi tiga indikator yang ditetapkan ialah Perlis, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang, yang kemudiannya disusuli Pulau Pinang.

Sebelum ini, pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Yahya Mat Arip, telah mencadangkan agar kerajaan pusat meletakkan nilai ambang berlainan buat setiap negeri, berdasarkan kes harian di negeri masing-masing dan jumlah penduduk yang sudah divaksin.

Penilaian itu lebih adil bagi negeri yang mengalami kes jangkitan yang berbeza.

"Jika dilihat sekarang, ada negeri yang kes hariannya rendah dan kemungkinan berasa kurang senang dengan situasi negeri yang mempunyai kes harian tinggi, sekali gus menjadi penyumbang kepada peningkatan kes keseluruhan," katanya dilapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata keadaan ini tidak adil kepada negeri yang mencatatkan kes harian yang rendah kerana turut sama dikekalkan dalam fasa pertama PPN di peringkat nasional.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi & Biostatistik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman, pula berkata bagi negeri yang tidak mencatat kes atau tiada kelompok tempat kerja, wajar dibuka semula dengan syarat pemantauan prosedur operasi standard (SOP) dan penjadualan vaksin segera dilaksanakan.

Sebelum ini, kerajaan Malaysia memaklumkan empat fasa melalui PPN dan menetapkan antaranya tiga nilai ambang sebelum boleh beralih kepada fasa selanjutnya.

Nilai ambang tiga indikator utama itu termasuk purata kes jangkitan harian selama tujuh hari di bawah 12.2 kes per 100,000; kadar penggunaan katil wad unit rawatan rapi di tahap sederhana; dan kadar vaksinasi lengkap dua dos ke atas penduduk dewasa melebihi 10 peratus.

Diminta mengulas mengenai perubahan PPN itu, Profesor Azmi Hassan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata langkah itu lebih wajar dan adil kerana sebelum ini kadar peringkat nasional 'diburukkan' dengan keadaan negeri seperti Selangor yang mempunyai banyak kes jangkitan.

"Di Perlis misalnya, kes hampir sifar dan kematian langsung tiada, jadi bagi Perlis, sekatan ketat adalah tidak logik dan rasional.

"Jadi penduduk bertanya, kenapa 'dihukum' seluruh negeri dan rakyat, hanya kerana satu dua negeri lain yang dalam keadaan serius?" ujarnya kepada Berita Harian (BH).

Pensyarah di Universiti Multimedia Melaka, Encik Mohamad Hafiz Hassan, pula berkata beliau pernah mencadangkan Sistem Amaran Penularan Penyakit (SAPP) yang boleh diamalkan di Malaysia.

Ia berupa sistem berkod warna empat tahap seperti di New Zealand dan Singapura atau lima tahap seperti di Britain.

"Setiap tahap memaklumkan orang ramai tentang apa yang perlu dilakukan untuk mencegah dan mengurangkan kesan jangkitan.

"Serahkan kepada pakar kesihatan mengenai langkah bagi setiap tahap, yang didukung oleh peraturan atau peraturan jelas - bukan SOP.

"SOP bukan undang-undang; ia adalah garis panduan, itulah sebabnya SOP selalu bertukar-tukar," katanya kepada BH.

Beliau menambah, penting juga bagi setiap fasa PPN disokong oleh undang-undang agar tidak menimbulkan kekeliruan lanjut.

Dengan peralihan kepada PPN peringkat negeri, dijangka pihak kerajaan negeri mempunyai lebih insentif untuk berusaha secara bersama dalam mencegah penularan.

Setiap negeri pasti mahu maju dalam fasa PPN selanjutnya agar lebih banyak kegiatan ekonomi dan sosial dapat dilonggarkan.

Antara perubahan yang dinikmati negeri yang beralih ke fasa dua PPN misalnya adalah kebenaran beroperasi buat sektor perdagangan seperti kedai buku dan alat tulis, komputer dan telekomunikasi dan khidmat gunting rambut.

Namun, pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi mereka yang diberi keizinan khas.

Memberi cadangan lanjut, Profesor Azmi berkata kadar harian kes positif Covid-19 yang digunakan di bawah PPN bukanlah indikator yang baik memandangkan angka itu boleh turun naik, dan bergantung pada varian virus sekarang dan akan datang.

"Britain contohnya lebih menggunakan kadar vaksinasi, dan walaupun kes harian masih tinggi, kes jangkitan serius dan kematian kekal rendah.

"Nilai ambang jangkitan harian boleh menyebabkan banyak perubahan kepada PPN dan tindakan 'pusingan U' yang hanya mengelirukan orang ramai.

"Nilai kadar vaksinasi boleh kita kawal dan lagi ramai rakyat diberi vaksin, data menunjukkan kadar kemasukan hospital dengan jangkitan serius dan kematian juga dijangka menjadi lebih rendah," jelas beliau kepada BH.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg