Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelancong Israel berdepan pemantauan, Thailand ancam batal visa pesalah
BANGKOK: Thailand memberi amaran akan membatalkan visa dan mengambil tindakan terhadap pelancong asing yang melanggar undang-undang atau menimbulkan kekacauan, susulan beberapa insiden membabitkan warga asing, termasuk pelancong Israel, di destinasi popular seperti Phuket dan Koh Samui.
Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand, Encik Surasak Phancharoenworakul, berkata kerajaan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk membatalkan visa pelancong yang mencetuskan masalah.
Menurutnya, Thailand mengalu-alukan pelancong dari seluruh dunia, tetapi setiap pengunjung perlu menghormati undang-undang, adat dan budaya tempatan.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membenarkan pelancong, tanpa mengira kewarganegaraan, menganggap Thailand sebagai “taman permainan” atau menggunakan kawasan tertentu di negara itu sebagai pentas bagi tindakan simbolik berkaitan konflik di luar negara.
Akhbar The Nation melaporkan bahawa beberapa destinasi pelancongan utama, termasuk Phuket dan Koh Samui, menerima aduan mengenai kumpulan pelancong asing yang didakwa berkelakuan tidak sesuai dan mencetuskan gangguan.
Laporan itu secara khusus menyebut beberapa kumpulan pelancong Israel, sambil menyatakan bahawa insiden sedemikian boleh menjejaskan rasa selamat penduduk, suasana pelancongan dan imej sektor perkhidmatan tempatan.
Encik Surasak bagaimanapun menegaskan bahawa kes tersebut membabitkan individu tertentu dan tidak seharusnya dianggap mencerminkan semua pelancong daripada sesuatu negara.
Namun, kementeriannya tidak akan mengabaikan insiden sedemikian atau membiarkannya menjadi lebih serius.
The Bangkok Post turut melaporkan amaran tersebut dalam konteks beberapa pertikaian dan insiden membabitkan warga Israel baru-baru ini.
Dasar itu bagaimanapun tidak hanya ditujukan kepada warga Israel, sebaliknya terpakai kepada semua warga asing yang melanggar undang-undang, mencetuskan konfrontasi atau mengganggu ketenteraman awam.
Kontroversi mengenai tingkah laku sebahagian warga Israel mendapat perhatian selepas sebuah kumpulan aktivis Thailand menyerahkan surat di luar Kedutaan Israel di Bangkok pada 24 Ogos, menggesa pelancong dan warga Israel yang menetap di negara itu supaya menghormati undang-undang, adat dan budaya Thailand.
Kumpulan yang dikenali sebagai Thai Mai Thon atau ‘Rakyat Thailand Tidak Akan Bertolak Ansur’ itu berkata mereka menerima aduan penduduk mengenai dakwaan ancaman, gangguan serta pertikaian perniagaan dan sosial yang membabitkan warga Israel di Phuket, Koh Samui, Koh Phangan dan Pai di utara Thailand.
Kumpulan itu menegaskan bahawa mereka tidak berniat membuat kesimpulan umum terhadap semua warga Israel.
Sebaliknya, mereka meminta setiap dakwaan pelanggaran undang-undang disiasat dan mereka yang didapati bersalah didakwa mengikut proses perundangan Thailand.
Kumpulan itu turut meminta Kedutaan Israel bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dalam siasatan terhadap kes yang disyaki membabitkan pelanggaran undang-undang oleh warga Israel.
Kakitangan kedutaan tidak menerima surat tersebut secara langsung dan meminta wakil kumpulan berkenaan meninggalkannya di luar bangunan kedutaan.
Isu itu timbul ketika pihak berkuasa Thailand turut meningkatkan tindakan terhadap warga asing yang disyaki menggunakan syarikat yang didaftarkan atas nama rakyat tempatan bagi menguasai perniagaan yang mempunyai sekatan pemilikan asing.
Pada 19 Ogos, polis Thailand melancarkan operasi besar-besaran terhadap rangkaian perniagaan asing yang disyaki menggunakan rakyat Thailand sebagai pemegang saham proksi untuk menyembunyikan pemilikan sebenar syarikat, tanah dan perniagaan tertentu.
Mahkamah Wilayah Koh Samui dilaporkan mengeluarkan waran tangkap terhadap 20 warga Israel sebagai sebahagian siasatan itu.
Antara yang ditahan ialah pemaju hartanah warga Israel, Encik Gal Bieber, 45 tahun.
Menurut polis, beliau disyaki memberikan maklumat palsu kepada pegawai kerajaan sehingga menyebabkan butiran tidak tepat dimasukkan ke dalam dokumen rasmi, mengendalikan perniagaan yang dikhaskan kepada warga Thailand serta menggunakan individu dan syarikat tempatan untuk menyembunyikan pemilikan dan pengurusan asing.
Dakwaan tersebut masih dalam siasatan dan belum dibuktikan di mahkamah.
Pihak berkuasa turut mendakwa rangkaian syarikat berkenaan digunakan untuk mengendalikan sebuah sekolah antarabangsa tanpa lesen serta membeli, memiliki, membangunkan, menjual dan menyewakan vila mewah, terutama kepada pelanggan Israel.
Pegawai Israel yang mengetahui isu tersebut bagaimanapun menegaskan bahawa siasatan mengenai pemilikan perniagaan secara tidak sah tidak hanya membabitkan warga Israel.
Warga asing dari beberapa negara lain turut pernah ditahan atas kesalahan serupa.
Pada masa sama, terdapat juga laporan bahawa sesetengah warga Israel menghadapi layanan bermusuhan kerana kewarganegaraan mereka.
Menurut pegawai yang mengetahui perkara itu, terdapat kes pemilik perniagaan dan penyedia perkhidmatan didakwa enggan melayani warga Israel, meminta mereka meninggalkan premis atau enggan membawa mereka sebagai penumpang teksi.
Pegawai berkenaan menegaskan insiden itu tidak mencerminkan sikap masyarakat Thailand secara keseluruhan terhadap warga Israel, tetapi menunjukkan ketegangan yang semakin ketara di sesetengah destinasi pelancongan.
Thailand sejak beberapa bulan lalu memperketat penguatkuasaan terhadap warga asing yang melanggar undang-undang.
Pada Mei, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan pihak berkuasa di seluruh negara meningkatkan tindakan terhadap warga asing yang melakukan kesalahan, mengancam penduduk tempatan atau menyalahgunakan visa.
Kes serius boleh menyebabkan visa dibatalkan dan individu terbabit dihantar pulang.
Kedutaan Israel di Thailand juga sebelum ini mengingatkan rakyatnya yang mengunjungi Phuket dan kawasan lain supaya mematuhi undang-undang serta peraturan tempatan, sambil memberi amaran bahawa kesalahan serius boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk terus berada di Thailand. – Agensi berita.
