KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memutuskan untuk melantik 11 orang yang berpengalaman dalam memimpin kementerian untuk menjadi sebahagian anggota kepimpinan Kerajaan Perpaduan.

Di kalangan mereka ini pernah berkhidmat sebagai menteri dan timbalan menteri semasa pentadbiran Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional sebelum ini.

Kesemua 11 ahli politik mapan daripada keseluruhan 27 timbalan menteri yang dilantik kali ini adalah Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Datuk Seri Ahmad Maslan; Encik Steven Sim; Cik Fuziah Salleh; Encik Teo Nie Ching; Encik Liew Chin Tong; atuk Mohamad Alamin; Datuk Hanifah Hajar Taib; Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Datuk Hasbi Habibollah; dan, Datuk Arthur Kurup.

Selebihnya adalah muka baharu, antaranya seperti Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Encik Adam Adli Abd Halim; Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Huang Tiong Sii; dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Cik Saraswathy Kandasamy.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata wakil BN yang dilantik akan memikul amanah bersama-sama pemimpin pelbagai parti lain, untuk memastikan aspirasi rakyat dan negara dapat dilaksanakan sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan yang baru dibentuk.

Tegasnya, perbezaan antara parti dalam kerajaan akan diraikan dan mencari kesepakatan bagi memastikan kejayaan negara.

"Kepelbagaian dan perbezaan yang ada diraikan dengan semangat untuk mencari kesepakatan membina negara bangsa yang berjaya.

"Pengalaman dan kepakaran dipertaruhkan untuk menyantuni kehendak dan aspirasi rakyat Malaysia. Tahniah dan selamat bertugas," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Majlis Istiadat Angkat Sumpah Timbalan Menteri telah diadakan di Istana Negara di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekitar 3 petang semalam.

Antara yang menarik dalam Kerajaan Perpaduan kali ini adalah pelantikan tiga adik kepada tiga mantan menteri; Timbalan Menteri Pendidikan, Cik Lim Hui Ying, adalah adik mantan Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal, adalah adik mantan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Timbalan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Encik Ramkarpal Singh, pula adik mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Encik Gobind Singh Deo. - BHM

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti