Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

PELANTIKAN PM MALAYSIA

Pelantikan Anwar tubuh kerajaan perpaduan dapat sokongan

Ia termasuk Barisan Nasional serta orang kebanyakan
Nov 25, 2022 | 05:30 AM



PELANTIKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan ramai pihak termasuk bekas parti yang memerintah kerajaan, Barisan Nasional (BN) serta orang ramai.



Pengerusi BN, Dr Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam berkata semua pihak perlu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk penubuhan Kerajaan Perpaduan.



Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada penyokong yang tanpa lelah memberi sokongan dan dukungan padu kepadanya.



"Terima kasih atas sokongan padu penyokong yang menzahirkan sokongan mereka sebentar tadi. Kekal tenang dan mari kita bina kembali Malaysia demi kebaikan semua agama dan bangsa, demi anak cucu keturunan kita.



"Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk Kerajaan Perpaduan. Jangan derhaka sedikit pun walau tidak suka dan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Tuanku," katanya dalam catatan Facebook semalam.



Puluhan ahli Kelab Penyokong Presiden Umno, bersatu padu di hadapan pintu masuk Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), bagi menyatakan sokongan kepada Datuk Ahmad Zahid.



Pengerusi Kelab Penyokong Presiden Umno, Datuk Dr Ramalan Yunus berkata, Umno secara majoritinya menyokong sepenuhnya titah Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.



Semalam, Datuk Anwar, 75 tahun, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 sekali gus mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan baru di negara itu.



Ia juga mengakhiri penantian Datuk Anwar selama 24 tahun untuk menjadi Perdana Menteri.



Acara angkat sumpah itu berlangsung di di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.



Turut berkenan menyaksikan istiadat, ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.



Pelantikan Datuk Anwar dibuat menyusuli perbincangan khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam, di mana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku pengerusi perbincangan itu, mengusulkan agar proses pelantikan Perdana Menteri baru dibuat susulan daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.



Dalam ciapan Twitter-nya semalam, Datuk Anwar berkata amanah yang diberi kepadanya akan digalas dengan penuh tawaduk dan bertanggungjawab.



"Tugas berat ini akan saya pikul berpandukan kehendak dan nurani rakyat bersama pasukan," katanya.



Kerajaan Sabah semalam menyatakan komitmen untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan pimpinan Datuk Anwar.



Sambil mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Malaysia ke-10 itu, di atas pelantikannya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata beliau yakin akan wujud kerjasama erat untuk merealisasikan pelbagai aspek pembangunan di negeri ini.



Katanya, ia termasuk usaha menunaikan hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menerusi perbincangan di antara kerajaan Sabah dengan kerajaan Persekutuan yang baru dibentuk di bawah pimpinan Datuk Anwar.



"Kerajaan negeri akan bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Anwar demi untuk manfaat dan kebaikan bersama," katanya dalam satu kenyataan.



Meskipun begitu Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Datuk Anwar, menunjukkan bukti beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat dengan mengemukakan surat akaun bersumpah yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.



Dalam sidang media semalam, beliau menyatakan merujuk kepada kenyataan Istana Negara, pelantikan tersebut tidak ada sebarang kaitan dengan pembentukan kerajaan perpaduan.



Tan Sri Muhyiddin berkata yang beliau tidak menolak pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan, tapi pelantikan Datuk Anwar sebagai Perdana Menteri.



Beliau mendakwa mendapat 115 pengisytiharan berkanun (SD) daripada ahli Dewan Rakyat yang menyokong agar beliau menjadi Perdana Menteri - seperti yang diperlukan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.



Beliau menekankan sekali lagi bahawa ini merupakan arahan Tan Sri Azhar.



"Kami patuh apa yang diperlukan," katanya.



Hadir sama dalam sidang media yang berlangsung di ibu pejabat PN dekat Petaling Jaya itu adalah Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden Gerakan, Tan Sri Dominic Lau dan kepimpinan PN.



Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar, meraih 82 kerusi manakala PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin, menang 73 kerusi. BN yang dipengerusikan Datuk Ahmad Zahid hanya meraih 30 kerusi.



Sementara itu, pelantikan Datuk Anwar selaku Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 mendapat sambutan padu daripada ramai rakyat Malaysia.



Ucapan tahniah mencurah-curah masuk di ruang-ruang komen Facebook beliau dengan ada melahirkan rasa syukur di atas pelantikan beliau itu.



"Alhamdulillah selesai dan tahniah DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim).



"Rakyat berharap DSAI tadbir negara dengan seadilnya, ikhlas dan amanah.



"Bentuk barisan kabinet yang tahu buat kerja dan berintegriti.



"Bersikap adil terhadap semua kaum bangsa dan agama.



"Pulihkan ekonomi negara dan rakyat, satukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ni," kata Sani Sheariq dalam ruang komen Facebook Datuk Anwar.



Satu lagi komen yang dicatit dalam ruang Facebook Datuk Anwar diberi oleh Ting Lun yang mengucapkan tahniah kepada Datuk Anwar.



"Tahniah, saya percaya selepas berjuang hebat bagi jawatan ini selama 24 tahun, anda lebih layak daripada calon-calon lain.



"Saya harapkan yang terbaik buat negara ini.



"Semoga berjaya dan terbaik buat anda," katanya dalam Bahasa Inggeris.



Satu lagi komen daripada Eric Dominic dalam Facebook Datuk Anwar menantikan usaha beliau dan pasukannya untuk menyelamatkan ekonomi negara itu.



"Cukuplah rebut-rebut kuasa, kami perlu gabungan yang betul-betul mahu baiki ekonomi negara," kata nya.




"Kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk Kerajaan Perpaduan. Jangan derhaka sedikit pun walau tidak suka dan kecewa dengan keputusan yang dibuat oleh Tuanku."
Pengerusi BN, Dr Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam Facebook.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >