Topik diikuti
Pergi ke BHkuPelbagai langkah di Eropah tangani Omicron yang kian tular
Pelbagai langkah di Eropah tangani Omicron yang kian tular
MADRID: Beberapa negara Eropah kini memutuskan untuk melonggarkan peraturan Covid-19 bagi melancarkan perkhidmatan yang ditawarkan hospital, sekolah dan khidmat kecemasan meskipun varian Omicron pantas menular.
Walaupun rekod lonjakan kadar jangkitan belum mencapai paras tertinggi di Eropah, Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, berkata masa sekarang adalah baik untuk mula menilai evolusi penyakit ini "dengan ukuran berbeza".
Berbeza daripada Italy, pemerintah negara itu memutuskan individu yang tidak disuntik vaksin Covid-19 dilarang memasuki restoran atau menaiki penerbangan domestik di bawah peraturan baharu yang berkuat kuasa semalam, ketika sekolah dibuka semula di seluruh negara.
Di bawah peraturan baharu itu, individu wajib memiliki dokumen dipanggil 'Super Green Pass' yang menunjukkan status vaksinasi atau status pemulihan daripada jangkitan Covid-19 dalam tempoh enam bulan lalu.
Hanya mereka yang baru sembuh daripada jangkitan koronavirus saja dikecualikan daripada peraturan dan pelaksanaan sekatan lebih ketat oleh negara itu dalam menghadapi peningkatan jangkitan.
Majoriti sekolah dibuka semalam bagi penggal baharu di bawah arahan kerajaan, walaupun terdapat permintaan daripada guru besar, kesatuan doktor dan beberapa datuk bandar supaya menangguhkan kehadiran semula ke kelas sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Italy adalah negara Eropah pertama yang dilanda koronavirus pada awal 2020 dan mencatatkan antara angka kematian tertinggi iaitu hampir 140,000 kes.
Negara itu melaporkan lebih 155,000 kes baharu kelmarin dalam kalangan penduduknya yang berjumlah 60 juta.
Di Belgium, ribuan penunjuk perasaan berarak di Brussels kelmarin bagi menentang peraturan anti-Covid-19, ketika kerajaan dan pemerintah Eropah mempertimbangkan peraturan lebih ketat dalam menghadapi gelombang Omicron.
Namun, tiada siri keganasan yang menjejaskan demonstrasi berlaku di ibu kota Belgium itu seperti sebelum ini, biarpun polis bertindak mengepung sekumpulan kecil mereka yang cuba mendekati ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU).
Ketika perarakan di bandar itu, kira-kira 5,000 peserta yang diiringi polis, melaungkan 'bebas, bebas!' serta mengibarkan sepanduk yang mengecam apa yang mereka panggil sebagai 'diktator vaksin'.
Belgium mewajibkan penduduk menunjukkan sijil Covid-19 untuk memasuki bar, restoran dan acara kebudayaan.
Greece pula menetapkan 1 Februari sebagai tarikh akhir untuk penduduk negara itu mendapatkan suntikan dos penggalak dan akan melarang penduduk tanpa dos penggalak daripada memasuki sebahagian besar tempat tertutup.
"Mulai 1 Februari, sesiapa yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak selepas tujuh bulan (dari tarikh suntikan dos kedua) akan disifatkan sebagai belum lengkap divaksin," tegas Menteri Kesihatan, Encik Thanos Plevris, dalam wawancaranya bersama penyiar Ant1.
"Sijil vaksinasi mereka akan kekal sah, kerana ia adalah sijil Eropah yang sah bagi tempoh selama sembilan bulan, namun, mereka tidak akan mendapat keistimewaan dan kelebihan untuk memasuki tempat tertutup dan melakukan kegiatan lain yang dibenarkan untuk penduduk yang sudah lengkap divaksin."
Greece sedang bergelut untuk membendung penularan varian Omicron dan menggesa penduduk yang belum divaksin supaya mendapatkan vaksinasi serta mengenakan sekatan selanjutnya terhadap mereka yang sudah divaksin. - Reuters, AFP.