Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

LINGKARAN ASIA

Peluang orang Rohingya pulang ke Myanmar terus tambah kelam

Jun 21, 2021 | 05:30 AM



YANGON: Peluang masyarakat Rohingya, yang kini menjadi pelarian kebanyakannya di Bangladesh, pulang ke Myanmar terus bertambah kelam.



Ini menyusuli kenyataan pemimpin junta tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, baru-baru ini yang menimbulkan keraguan mengenai kepulangan ratusan ribu pelarian Rohingya, dalam satu ulasan beliau dalam wawancara pertamanya sejak berkuasa dalam rampasan kuasa 1 Februari lalu.



Jeneral Aung Hlaing ditanya pihak televisyen Phoenix apakah masyarakat Rohingya boleh kembali ke negara itu di wilayah Rakhine - tempat asal kebanyakan mereka sebelum terpaksa melarikan diri daripada tindakan kejam tentera pada 2017, yang disifatkan penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai kejadian "pembunuhan beramai-ramai".



"Jika ia tidak mematuhi undang-undang Myanmar, apa lagi yang perlu dipertimbang?



"Saya tidak percaya ada negara di dunia yang akan melakukan sesuatu menjangkau undang-undang pelarian negara mereka sendiri untuk menerima pelarian," jawabnya.



Ditanya apakah itu bererti rayuan pihak antarabangsa bagi masyarakat Rohingya tidak berhasil, beliau mengangguk.



Jeneral Aung Hlaing, yang mengetuai tentera pada 2017 ketika kira-kira 700,000 orang Rohingya melarikan diri daripada tindakan kejam tentera, mengulangi pandangan nasionalis di Myanmar yang bermajoriti penganut Buddha bahawa masyarakat Rohingya bukan salah satu kumpulan etniknya.



Beliau berkata istilah Rohingya hanya muncul sejak kemerdekaan dari Britain pada 1948.



"Setelah kami mencapai kemerdekaan, banci ada mendaftar istilah Bengali, Pakistan dan Chittagong, tetapi tidak pernah perkataan Rohingya, oleh itu kami tidak pernah menerimanya," katanya.



Orang Rohingya secara meluas disebut sebagai Bengali oleh pihak berkuasa Myanmar - dengan bertujuan merujuk mereka sebagai orang luar dari Bangladesh, walaupun ada antara mereka yang telah berakar umbi di Myanmar sejak berabad-abad lamanya.



Sebelum ini, pemimpin awam Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, yang digulingkan Jeneral Aung Hlaing, juga mendapat kritikan antarabangsa kerana mempertahan tentera daripada tuduhan pembunuhan beramai-ramai ke atas Rohingya.



Beliau dan tentera menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai itu sambil mendakwa pasukan keselamatan terlibat dalam operasi yang sah terhadap pemberontak Rohingya ketika pelarian melarikan diri ke Bangladesh.



Tidak lama selepas rampasan kuasa 1 Februari lalu, Jeneral Aung Hlaing berkata usaha mengembalikan pelarian dari Bangladesh akan diteruskan, tetapi belum ada tanda kemajuan sedang pihak junta menghadapi masalah untuk memaksa penguasaannya di Myanmar.



Bangladesh mahu melihat orang Rohingya kembali ke Myanmar dari kem besar di mana kebanyakan mereka tinggal di daerah sempadan di tenggara Bangladesh.



Media Dhaka Tribune di Bangladesh melaporkan baru-baru ini bahawa usaha sedang dilakukan untuk memulakan semula perbincangan mengenai usaha itu antara Bangladesh dengan Myanmar, dengan bantuan China.



Sementara itu, ribuan pelarian Rohingya di Pulau Bhashan Char melakukan tunjuk perasaan baru-baru ini terhadap keadaan hidup mereka.



Kebanyakan mereka dipindahkan ke pulau rentan banjir itu dari kem besar di kawasan Cox's Bazar.



Sejak Disember lalu, Bangladesh memindahkan 18,000 daripada 100,000 pelarian ke pulau tersebut dari Cox's Bazar, tempat sekitar 850,000 orang hidup dalam keadaan yang tidak selesa dan sempit.



Tunjuk perasaan itu melibatkan sehingga 4,000 orang, kata polis Bangladesh, dan bertepatan dengan lawatan pemeriksaan oleh pegawai Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR).



"Penduduk Rohingya yang berada di situ menjadi tidak terkawal ketika wakil UNHCR mendarat (di pulau) dengan helikopter," kata ketua polis setempat Alamgir Hossain. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >