SYDNEY: Seorang peluncur kehilangan hampir seluruh pahanya akibat digigit jerung di Australia pada petang Rabu (30 Mac).
Brett Connellan, 22 tahun, mujur terselamat daripada maut hasil tindakan cepat pengunjung lain di Pantai Bombo, selatan Sydney, yang datang membantunya.
"Anak kami Brett mengalami kecederaan sangat serius malam tadi, dia dalam keadaan serius tetapi stabil," kata bapanya, Encik Malcolm, dalam satu kenyataan ringkas.
Akhbar The Sydney Morning Herald berkata tiga suku paha Connellan hilang, di samping kecederaan pada tangannya, apabila beliau melawan ikan itu.
Pekikannya menyedarkan peluncur lain dan pengunjung mengenai apa sedang berlaku.
Connellan dibantu seorang rakannya, Encik Joel Tryst, serta dua jururawat tidak bertugas yang membawanya ke pantai dengan menggunakan tali kaki papan peluncur untuk menahan darah keluar dari pahanya - tindakan yang membantu menyelamatkan nyawanya.
Encik Tryst, yang berada 50 meter dari Connellan, berkata beliau mendengar "jeritan dahsyat" dan melihat ikan jerung itu mengganas di dalam air.
Beliau mengayuh dengan cepat ke tempat Connellan, yang bernasib baik kerana ketika itu ikan tersebut telah beredar.
Pakar Shark Michael Brown daripada kumpulan Surf Watch Australia berkata ikan jerung itu mungkin jenis great white shark atau bronze whaler. - AFP