KYIV: Russia membedil hospital kanak-kanak utama di Kyiv pada siang hari 8 Julai dan menghujani peluru berpandu ke bandar-bandar lain di serata Ukraine, membunuh sekurang-kurangnya 41 orang awam dalam serangan udara paling dahsyat sejauh ini.
Ibu bapa yang menggendong bayi di luar hospital terpinga-pinga dan menangis teresak-esak selepas serangan udara siang hari yang jarang berlaku itu.
Tingkap-tingkap pecah berderai dan panel-panel musnah dengan ratusan penduduk Kyiv membantu membersihkan serpihan.
“Ia menakutkan. Saya tidak boleh bernafas, saya terpaksa menutup bayi saya dengan kain supaya dia boleh bernafas,” kata Cik Svitlana Kravchenko, 33 tahun.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, yang singgah ke Poland sebelum berangkat ke Washington untuk sidang puncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), menyatakan 37 orang terkorban, termasuk tiga kanak-kanak.
Lebih 170 yang lain cedera.
Tetapi, jumlah korban di lokasi serangan di wilayah berbeza berjumlah sekurang-kurangnya 41 orang.
Menulis di aplikasi sembang Telegram, Encik Zelensky berkata lebih 100 bangunan mengalami kerosakan, termasuk hospital kanak-kanak dan pusat bersalin di Kyiv, tadika, pusat perniagaan serta rumah kediaman.
“Pengganas Russia mesti menjawab atas apa yang berlaku. Keprihatinan tidak menghentikan keganasan. Takziah bukan senjata,” tambahnya.
Kementerian Dalam Negeri berkata terdapat juga kerosakan di bandar Kryvyi Rih dan Dnipro serta dua bandar di timur.
Pemerintah telah mengisytiharkan hari berkabung pada 9 Julai untuk salah satu serangan udara terburuk dalam perang – petanda Ukraine kian terdesak memerlukan peningkatan pertahanan udara daripada sekutu Baratnya.
Pertahanan udara telah menembak jatuh 30 daripada 38 peluru berpandu, kata tentera udara.
Video dalam talian menunjukkan peluru berpandu jatuh ke arah hospital kanak-kanak itu diikuti dengan letupan besar. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg