WARSAW: Sebuah peluru berpandu sesat yang terhempas di dalam Poland dan meragut nyawa dua mangsa disahkan milik tentera Ukraine dan bukannya serangan Russia, seperti mana didakwa sebelum ini. Kenyataan rasmi itu sekali gus menghapuskan kebimbangan antarabangsa bahawa perang boleh merentasi sempadan kerana Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) perlu mempertahankan Poland yang menganggotainya. Namun, Setiausaha Agung Nato, Encik Jens Stoltenberg, kekal mempersalahkan Russia kerana memulakan perang dengan menceroboh Ukraine pada Februari lalu dan melancarkan beberapa peluru berpandu pada Selasa lalu hingga mencetuskan kebimbangan pertahanan Ukraine. "Ini bukan salah Ukraine. Russia harus pikul tanggungjawab muktamad kerana ia meneruskan perang haramnya ke atas Ukraine," katanya. Susulan itu, duta negara anggota Nato mengadakan rundingan tergempar untuk bertindak balas terhadap letupan yang mengorbankan dua orang di kemudahan bijirin di Poland berhampiran sempadan Ukraine. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg