SHAH ALAM: Seorang pemandu Grab Car ditahan polis kerana disyaki merogol dan menyamun seorang pelanggan wanita yang merupakan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Penolong Kanan Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan di rumanya di Perumahan Sri Perantau, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 4 pagi semalam.

"Siasatan awal mendapati suspek telah menawarkan untuk menghantar mangsa balik setelah dilihat berdiri berseorangan di hentian bas. Setelah mangsa menaiki kereta suspek, wanita itu telah diugut dengan pisau sebelum dirogol dan disamun.

"Suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Semalam, seorang gadis berusia 22 tahun itu didatangi suspek yang berpura-pura bertanya arah jalan sebelum mengacukan pisau ketika mangsa di dalam kereta.

Suspek dipercayai merogol, merampas wang tunai RM100 dan telefon bimbit sebelum mengarahkan mangsa turun dari kereta. -THE STAR/ASIA NEWS NETWORK