JOHOR BAHRU: Pemandu kereta bernombor pendaftaran Singapura yang dikenal pasti menggeser kereta milik Tunku Temenggong Johor (TTJ), Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, di Jalan Serampang, Taman Pelangi pada 1 Ogos lalu, disaman RM300 ($92.91).
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, berkata lelaki berusia 62 tahun itu dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk diserahkan saman kelmarin.
"Polis memanggil pemandu kereta berkenaan hadir ke balai polis trafik pada hari ini bagi membolehkan saman Pol 257 diserahkan kepadanya.
"Dia disaman... kemudian menjelaskan saman sebanyak RM300 pada 1.45 tengah hari tadi," katanya ketika dihubungi, kelmarin.
Beliau berkata saman dikeluarkan di bawah undang-undang 10 LN 166/59 iaitu kesalahan lalai mengawal pergerakan kenderaan dengan baik dengan saman boleh dikenakan maksimum RM300.
Pada 1 Ogos lalu, Tunku Idris berkongsi insiden kereta Honda miliknya digeser sebuah BMW ketika diletakkan di hadapan sebuah kedai roti.
Melalui hantaran di Instagram, Tunku Idris turut berkongsi gambar bahagian keretanya yang calar dan gambar kereta melanggarnya, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan insiden itu.
Daripada rakaman CCTV yang dikongsi, kejadian berlaku pada 2.17 petang ketika pemandu BMW bernombor pendaftaran Singapura itu mahu ke ruang tempat letak kereta yang kosong.
Video 60 saat itu menunjukkan pemandu lelaki keluar daripada BMW dan berlalu pergi melewati kenderaan Tunku Idris tanpa melihat sekiranya berlaku kerosakan atau tidak. - BHM.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg