Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Pembangkang, Oposisi atau pengimbang?

Mar 21, 2023 | 05:30 AM



BASIR SISWO

ADA apa pada nama? Apakah benar penggunaan istilah negatif boleh mempengaruhi psikologi penggunanya?

Baru-baru ini, timbul usul untuk mengubah istilah pihak pembangkang yang digunakan di Parlimen Malaysia.

Tujuannya ialah untuk membetulkan salah tanggapan bahawa peranan pembangkang adalah hanya untuk menentang dan membangkang segala dasar yang diperkenalkan kerajaan.

Anehnya, usul itu disuarakan bekas seorang ahli politik veteran Umno yang beralih menjadi Ahli Parlimen (AP) pembangkang, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, dari Arau Perlis.

Beliau sebaliknya mencadangkan istilah Oposisi digunakan serupa dengan di Indonesia kerana ia lebih lembut daripada perkataan pembangkang.

"Pembangkang itu seakan-akan seperti 'rebel' atau pemberontak. Kita tidak mahu konotasi itu, jadi kita tukar yang lebih lembut.

"Ini kerana perkataan itu menyebabkan perangai pembangkang di dewan (rakyat) mulia ini - kita seakan-akan hendak bergaduh," jelas beliau.

Perdebatan di Parlimen Malaysia memang sering diwarnai dengan adegan perbalahan panas membara yang sukar dikawal antara pihak pembangkang dengan AP parti-parti yang membentuk kerajaan.

Sehinggakan, ada kalanya Speaker Parlimen terpaksa mengarahkan mereka yang enggan mematuhi adab perbahasan keluar dari dewan.

Bagaimanapun, ada pihak kurang setuju dengan istilah Oposisi yang diterjemahkan daripada perkataan Inggeris "Opposition" kerana ia mempunyai erti yang serupa dengan pembangkang.

Minggu lalu, Sultan Ibrahim Iskandar dari Johor menyatakan supaya wakil rakyat parti pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor digelar sebagai 'Pengimbang'.

Menurutnya, ini sesuai dengan peranan mereka sebagai pengimbang serta pemeriksa kepada kerajaan.

Sultan Ibrahim berkata gelaran 'pembangkang' yang diberi kepada ahli dewan di pihak bukan kerajaan kurang sesuai kerana peranan mereka bukanlah hanya membangkang segala cadangan kerajaan semata-mata.

"Mereka turut bertanggungjawab untuk menjadi pengimbang dan pemeriksa terhadap tindakan kerajaan supaya tidak berbuat sesuka hati.

"Namun begitu, janganlah pula ada sikap membalas dendam atau suka mencari salah kerajaan sahaja," ujar beliau semasa merasmikan pembukaan Penggal Persidangan Kedua DUN ke-15 di Kota Iskandar.

Usul menggunakan parti pengimbang kali pertama disuarakan dua tahun lalu oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Seri Dr Awang Sariyan.

Dalam satu muatnaik Facebook, beliau berkata penggunaan istilah itu adalah bagi mencapai makna yang lebih luhur serta bertujuan menjadikan politik lebih harmonis.

Ketika dihubungi, Datuk Dr Awang menjelaskan saranannya itu masih tetap relevan, kerana selagi wujud persepsi dua kelompok yang berkonflik atas nama kerajaan dan pembangkang, wujud sikap dan tindakan 'berkonfrontasi' dalam hampir semua isu.

"Dengan perubahan 'pembangkang' kepada 'pengimbang', peranan kelompok yang tidak memegang amanah sebagai kerajaan lebih sebagai pengimbang, sesuai dengan peranan 'semak dan imbang'.

"Perubahan nama itu, saya yakin, ada kesan psikologi yang positif. Sistem demokrasi bukan untuk berkonflik atau berkonfrontasi tetapi untuk semak dan imbang atau saling melengkapi meskipun berbeza ideologi dan pendekatan," ujar beliau.

Malah Datuk Awang juga pernah mengusulkan supaya penggunaan Yang Berhormat (YB) buat AP lebih tepat digantikan dengan Yang Berkhidmat untuk mencerminkan peranan sebenar mereka untuk rakyat.

Di Parlimen, semua AP digelar YB kecuali Perdana Menteri yang mempunyai status Yang Amat Berhormat (YAB).

Persoalan sama ada usul istilah pembangkang akan diubah menjadi pengimbang di Parlimen mungkin sukar dibayangkan dalam masa terdekat ini.

Apatah lagi dengan kemelut politik yang kini mengeruhkan hubungan antara kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Perikatan Nasional (PN) berikutan tuduhan rasuah yang dihadapi pengerusi PN, Tan Seri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Penulis mantan wartawan BH dan kini tinggal di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.

E-MEL DARI KL




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >