Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembantah hiba atas kematian belia, AS gesa elak keganasan

Feb 21, 2021 | 5:30 AM
PEMBANTAH DIRUNDUNG HIBA: Warga Myanmar yang tunjuk perasaan mengenang pemergian pembantah belia, Cik Mya Thwe Thwe Khaing, 20 tahun, dengan menyumbang bunga dan membakar lilin di Yangon semalam. - Foto EPA-EFE
PEMBANTAH DIRUNDUNG HIBA: Warga Myanmar yang tunjuk perasaan mengenang pemergian pembantah belia, Cik Mya Thwe Thwe Khaing, 20 tahun, dengan menyumbang bunga dan membakar lilin di Yangon semalam. - Foto EPA-EFE -

YANGON: Kurang dua minggu lalu, gadis berusia 20 tahun, Cik Mya Thwe Thwe Khaing, merupakan pekerja kedai runcit di ibu kota Myanmar, Naypyidaw.

Kini, mendiang Mya, yang mati dipercayai ekoran tembakan polis, dijulang sebagai wirawati negara.

Kematian pembantah belia itu mencetuskan rasa hiba dalam jiwa warga lain di serata negara.

Mereka menunjukkan perasaan terhadap rampasan kuasa tentera dan penahanan pemimpin dipilih, Cik Aung San Suu Kyi, 75 tahun, sejak 1 Februari lalu.

Kudeta tersebut berlaku menyusuli kemenangan parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Cik Suu Kyi dalam pilihan raya.

Demi mengenang pemergian mendiang Mya, penunjuk perasaan menyumbang bunga dan membakar lilin depan sepanduk dan kain rentang yang dicetak gambarnya semalam.

Menurut laporan agensi berita, mendiang menyertai bantahan di Naypyidaw.

Polis kemudian meleraikan bantahan berkenaan menggunakan peluru getah.

Namun, dua pembantah termasuk mendiang cedera parah akibat penembakan itu.

Mendiang dikejarkan ke hospital pada 9 Februari akibat kecederaan pada bahagian kepala.

Di hospital, beliau bergantung pada mesin bantuan hayat.

Beliau meninggal dunia kelmarin yakni 10 hari selepas ditembak.

Mendiang merupakan kes kematian pertama dalam rusuhan kali ini.

Upacara pengebumian dijangka berlangsung hari ini.

Abangnya berkata kepada pemberita AFP:

"Kami kecewa dan tidak mampu berkata apa-apa lagi."

Video penembakan mendiang menular di Internet dengan rakaman menunjukkan gadis berambut panjang itu rebah lalu dikerumuni orang ramai yang hendak memberi bantuan kecemasan.

Sehubungan itu, pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang memperjuang hak asasi manusia dan berpangkalan di Britain, Amnesty International, menerima kiriman video yang sah daripada kejadian tersebut.

Mereka berkata bahawa "polis asal boleh menyasarkan pembantah tanpa mengutamakan nyawa mahupun keselamatan mereka".

Sepanduk sepanjang 15 meter memaparkan adegan penembakan mendiang turut dipasang pada jambatan di Yangon.

Penunjuk perasaan lain pula menjulang cetakan gambar mendiang.

Kelmarin, Amerika Syarikat menggesa tentera Myanmar supaya mengelakkan keganasan dan melepaskan kuasa yang dipegang.

Kakitangan hospital berkata punca kematian Cik Mya akan disiasat majlis perubatan.

Identiti penembak masih belum diketahui tetapi pengguna Facebook dan twitter sudah melancarkan pencarian secara dalam talian. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg