Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembentukan kerajaan persekutuan perlu libatkan Sabah, Sarawak: Ismail Sabri

Nov 17, 2022 | 7:12 AM
PARTI AKAN TENTUKAN PERIKATAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN bersedia bentuk kerajaan bersama parti dari Sabah dan Sarawak. - Foto REUTERS
PARTI AKAN TENTUKAN PERIKATAN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata BN bersedia bentuk kerajaan bersama parti dari Sabah dan Sarawak. - Foto REUTERS -

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik di Sabah dan Sarawak tidak boleh ditinggalkan dalam pembentukan kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Justeru, Datuk Ismail Sabri, yang juga naib presiden Umno, berkata Barisan Nasional (BN) bersedia untuk bersama parti dari kedua-dua negeri itu - Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - untuk membentuk kerajaan persekutuan.

"Apa juga keputusannya, perikatan harus diputuskan oleh parti. Individu tidak berhak untuk memutuskan siapa yang ingin kami bergabung selepas pilihan raya, tetapi kami tentunya akan mengundang GPS, sebagai contoh.

"Kita juga bersedia untuk bekerjasama dan mengundang GRS dan BN Sabah, kerana bagi saya, tidak kira berapa banyak kerusi yang kita perolehi, 120 hingga 130, kita harus mempunyai parti dari Sabah dan Sarawak.

"Mereka tidak boleh ditinggalkan dalam pembentukan kerajaan persekutuan," kata beliau, bercakap dalam rancangan Bual Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri, yang ditayangkan TV Bernama dan beberapa stesen televisyen tempatan kelmarin.

Bagaimanapun, Datuk Ismail Sabri, yang disebut sebagai calon perdana menteri bagi BN, berkata BN perlu memenangi 80 hingga 90 kerusi parlimen daripada 178 kerusi yang ia tandingi, untuk menjadi parti terbesar dalam kerajaan perikatan yang akan dibentuk.

"Jika kita (BN) mempunyai hanya 40 kerusi, yang lain-lain mempunyai 60 kerusi, tidak mungkin bagi kita untuk memimpin kerajaan perikatan.

"Itulah sebabnya kita perlu mendahului, kerana sasaran kita adalah 112, jika boleh menang lebih (melebihi majoriti mudah), kita boleh membentuk kerajaan.

"Dan jika tidak, sekalipun hanya dengan 80 atau 90 (kerusi), kita lebih menguasai berbanding parti-parti lain.

"Maka, kita akan mengundang mereka menyertai kita, dan tentunya perdana menteri harus dari BN.

"Jika kita peroleh 30, yang lain 80, maka orang lain yang akan menjadi Perdana Menteri," katanya dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris, Malay Mail.

Mengenai dakwaan bahawa BN mungkin bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) jika tidak peroleh kerusi mencukupi, Datuk Ismail Sabri berkata itu tidak mungkin berlaku kerana Perhimpunan Agung Umno dan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno telah memutuskan untuk menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim, DAP dan PKR.

"Jika mahu mengubah keputusan itu, bawa semula perkara itu ke Majlis Tertinggi dan mesyuarat agung luar biasa untuk memutuskannya.

"Selagi belum ada keputusan tentang itu, 'Tiada Anwar, Tiada DAP' akan terus menjadi pegangan.

"Saya percaya, tiada seorang pun di kalangan Umno, sekalipun pemimpin kanan, yang boleh mengubah keputusan Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung Umno secara bersendiri.

"Ia mesti diputuskan oleh parti," jelas Datuk Ismail Sabri. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg