Topik diikuti
Pergi ke BHkuPembukaan semula pulau peranginan Asia Tenggara satu langkah tepat
Pembukaan semula pulau peranginan Asia Tenggara satu langkah tepat
Pembukaan semula pulau peranginan Asia Tenggara satu langkah tepat

SELEPAS projek perintis pulau peranginan Phuket di Thailand, yang menerima pelawat yang divaksin sepenuhnya, bermula Julai lalu, beberapa pulau popular di Asia Tenggara menyusul dengan membuka tempat masing-masing kepada pelawat asing.
Pulau peranginan terbaru yang berbuat demikian adalah Langkawi, yang akan menerima pelawat asing mulai Isnin lalu dengan Pulau Phu Quoc di Vietnam pada hujung bulan ini.
Ini selepas pulau Bali di Indonesia mula menerima pelawat asing pada pertengahan Oktober lalu.
Sejauh mana hasil projek perintis di Phuket?
Sehingga hujung September lalu, perangkaan pihak berkuasa Thailand menunjukkan pulau yang dahulunya amat popular di kalangan pelancong Barat dan China, selain penduduk Asia Tenggara, telah menarik lebih 38,000 pelawat asing.
Daripada bilangan itu, 0.3 peratus dikesan positif Covid-19 semasa ketibaan mereka - satu angka yang disifatkan Thailand sebagai rendah dan boleh diterima. Projek itu juga menjana pendapatan kira-kira 1.63 bilion baht ($65.7 juta) dari tempoh Julai hingga hujung Ogos.
Jumlah pendapatan itu jauh lebih rendah berbanding tempoh sebelum pandemik Covid-19 - 470 bilion baht pada 2019 - namun projek perintis Phuket itu telah menjadi contoh dan ikutan kepada pihak berkuasa negara Asia Tenggara lain untuk melaksanakan projek percubaan serupa di destinasi popular antarabangsa masing-masing.
Langkah itu diambil sebagai satu raptai atau latihan untuk mempelajari proses dan pengalaman untuk menerima pelawat asing, khususnya yang sudah divaksinasi sepenuhnya.
Ia juga sebagai usaha memulihkan sektor pelancongan negara yang teruk terjejas sejak pandemik Covid-19 melanda sejak 21 bulan lalu. Ini memandangkan sektor pelancongan merupakan penyumbang besar kepada ekonomi kebanyakan negara Asia Tenggara.
Selepas projek perintis Phuket, Bali mula menerima pelawat asing pada 14 Oktober dengan pemerintah negara itu berikrar mahu merancakkan sektor pelancongan yang merupakan antara sektor ekonomi utama selain menyediakan jutaan pekerjaan buat warganya.
Sebelum pandemik Covid-19, industri pelancongan Bali misalnya menjana pertukaran wang asing kira-kira AS$10 bilion ($13.55 bilion) setahun.
Malaysia membuka Langkawi di Kedah, sebagai langkah percubaan sedang negara itu bersiap sedia membuka negara itu kepada sektor pelancongan antarabangsa dengan kehadiran lebih ramai pelawat asing.
Langkawi telah dibuka kepada pelancong tempatan sejak 16 September lalu.
Vietnam juga merancang membuka semula pulau Phu Quoc kepada pelawat yang sudah divaksin sepenuhnya dengan pesawat antarabangsa pertama dijadual tiba ke pulau itu mulai 20 November ini.
Pulau itu, terletak di Teluk Thailand, sebelum ini menarik sekitar 670,000 pelawat dan menjana pendapatan lebih AS$18 bilion pada 2019.
Memberi respons kepada Berita Harian, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata pembukaan Phuket dan Langkawi dan beberapa destinasi pelancongan lain di Asia Tenggara, mempunyai dua asas.
"Pertama sebagai percubaan sebelum pembukaan tempat lain di negara masing-masing. Ini dianggap sebagai satu raptai (rehearsal), seperti proses imigrasi, kuarantin, dan prosedur lain.
"Kedua, adalah atas faktor ekonomi, kerana ini adalah destinasi peranginan yang utama buat Thailand dan Malaysia.
"Saya fikir kedua-dua pemerintah ini memantau secara khusus prestasi pusat peranginan ini sebelum membuka tempat lain kepada pelancong.
"Di Malaysia (Langkawi), saya fikir kesannya sangat positif dan kita tidak dengar kes jangkitan berskala besar semasa membuka Langkawi kepada pelawat tempatan.
"Begitu juga dengan keadaan di Thailand (Phuket). Ini memberi semangat untuk memulakan norma baru pasca Covid-19," ujar beliau.
Sejarah menunjukkan pelancongan akan melonjak semula selepas berlakunya krisis.
"Jika dilihat sejarah pelancongan sejak Perang Dunia Kedua, pelancongan selalunya melonjak selepas tempoh krisis.
"Perkara sama akan berlaku selepas pandemik Covid-19 ini dapat dikawal atau dunia mula belajar untuk hidup dengannya, seperti kita hidup dengan penyakit lain seperti demam selesema," kata pensyarah kanan di RMIT Universiti Vietnam, Dr Nuno Ribeiro, kepada The Straits Times.
Semasa sidang puncak Asean baru-baru ini, pemimpin negara kumpulan itu juga telah membuat gesaan agar sempadan dapat dibuka semula secara bertahap dan selamat. Ini termasuklah melalui pengiktirafan sijil digital vaksinasi.
Kita harapkan projek permulaan di beberapa destinasi pulau peranginan di Asia Tenggara akan berjaya dengan banyak pengalaman berguna dapat diraih, dan kemudian diperluas ke tempat lain, bagi merancakkan semula ekonomi pelancongan, dengan norma baru.
Pandemik Covid-19 sudah menjejas teruk ekonomi negara Asean, dan usaha membuka semula destinasi pelancongan di negara masing-masing adalah langkah baik dan tepat yang akan menghasilkan pendapatan kepada pekerja, syarikat dan negara Asean sendiri.