JAKARTA: Pemerintah Indonesia bercadang melaksana perintah sekatan lebih ketat mulai hari ini, sedang negara paling ramai penduduk di Asia Tenggara ini berusaha memerangi gelombang kedua penularan Covid-19 yang didorong varian Delta yang lebih mudah berjangkit.
Presiden Joko 'Jokowi' Widodo dilaporkan mempengerusi satu mesyuarat semalam bagi membincangkan rancangan langkah-langkah baharu yang dikenali sebagai 'Pemberlakuan Pembatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) Darurat', menurut dua pegawai pemerintah dan seorang penggubal undang-undang yang bercakap dengan syarat identiti mereka tidak didedahkan.
Langkah terbaharu itu mungkin memerlukan semua pekerja dalam sektor tidak penting bekerja dari rumah dan melarang orang ramai mengunjungi restoran, menurut seorang anggota parlimen yang menduduki jawatankuasa kesihatan dalam satu pesanan teks kepada akhbar The Straits Times.
Pada masa ini, 25 peratus pekerja syarikat dibenarkan bekerja dari pejabat dan pelanggan restoran dihadkan kepada 25 peratus daripada ruang yang disediakan.
Penerbangan dalam negeri akan hanya dibenarkan untuk mereka yang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dan memberi hasil negatif bagi ujian calitan reaksi rantaian polimerase, tambah anggota parlimen itu.
Belum jelas apakah langkah terbaharu ini akan dilaksana di serata negara atau hanya di rantau zon merah di mana kes melonjak bulan ini.
Kawasan yang telah dipastikan sebagai zon merah termasuk ibu kota Jakarta, sebahagian Yogyakarta dan kawasan Kudus di Pulau Jawa, Bangkalan di Pulau Madura, Bandung di Jawa Barat, dan sebahagian kawasan Riau, di Sumatera.
"Tunggulah perincian penuh daripada Istana," kata satu sumber.
Langkah baharu ini merupakan satu peralihan daripada perintah sekatan yang dilakukan di peringkat tempatan, yang dikenali sebagai PPKM Mikro, yang dianggap ramai sebagai tidak lagi berkesan.
Pasukan daripada persatuan doktor perubatan Indonesia yang berusaha menangani penularan pandemik Covid-19 Ahad lalu merayu pemerintah agar melaksana perintah sekatan lebih ketat untuk sekurang-kurangnya dua minggu, terutamanya di Pulau Jawa.
Menurut mereka, penguatkuasaan penuh diperlukan kerana hospital kini berdepan kes melimpah-ruah.
Memburukkan lagi keadaan, sekurang-kurangnya 10 daripada 26 doktor di Indonesia yang meninggal dunia akibat Covid-19 bulan ini telah menerima kedua-dua dos vaksin yang dibangunkan oleh Sinovac Biotech Ltd, kata sebuah persatuan perubatan.
Akhbar The Wall Street Journal melaporkan itu menimbulkan pertanyaan mengenai vaksin buatan China yang sedang digunakan di banyak bahagian negara membangun.
Kumpulan mitigasi Covid-19 Persatuan Perubatan Indonesia masih berusaha untuk mengesahkan status vaksinasi dari 16 sumber lain, kata Dr Adib Khumaidi, yang mengetuai kumpulan terbabit.
Menurut angka terbaru kumpulan itu, dalam jangka masa lima bulan sekurang-kurangnya 20 doktor yang diinokulasi sepenuhnya dengan vaksin Sinovac meninggal dunia akibat Covid-19, menyumbang lebih daripada satu perlima jumlah kematian dalam kalangan doktor pada jangka masa terbabit.
Jumlah korban mungkin meningkat lebih tinggi dalam beberapa minggu akan datang ketika Indonesia dan hospital di seluruh negara menghadapi lonjakan jangkitan.
Ahli epidemiologi menyatakan kematian perlu disiasat dengan betul untuk menentukan sama ada faktor-faktor seperti rawatan hospital yang buruk atau penyakit kronik yang menjadi punca utama kematian terbabit.
Sehingga tengah hari semalam, Indonesia mencatat lebih 2.12 juta jangkitan Covid-19, dengan 57,138 kematian dan 1.85 juta pesakit telah sembuh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg