TOKYO: Sekitar AS$2.4 bilion ($3.2 bilion) dan 54 juta dos vaksin Covid-19 telah diikrarkan oleh kira-kira 40 pemimpin dunia dan perniagaan kelmarin kepada program kemudahan global Covid-19 sedunia, Covax, yang akan memberi negara berpendapatan rendah peluang lebih baik melindungi diri mereka.

Mereka diketuai oleh ikrar Perdana Menteri Jepun, Encik Yoshihide Suga, berjumlah AS$800 juta semasa satu sidang puncak Komitmen Pasaran Masa Hadapan (AMC), yang dihoskan bersama oleh Jepun dan pakatan vaksin Gavi - yang menyelaras Covax, kemudahan untuk memastikan pengedaran vaksin yang adil, lapor The Straits Times.

"Untuk mengatasi krisis yang kita hadapi sekarang, kita memerlukan perpaduan dan komitmen," kata Encik Suga sambil menarik perhatian bahawa cabaran itu "tidak dapat ditangani oleh satu negara saja".

Memberi respons kepada seruan itu termasuk negara seperti Australia, Filipina, Sepanyol dan Amerika Syarikat, serta pertubuhan tidak mengambil keuntungan seperti Yayasan Bill dan Melinda Gates.

Syarikat seperti Toyota Tsusho, cabang perdagangan Toyota Group di Jepun, dan UBS Bank, juga memberi sumbangan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Gavi, Encik Jose Manuel Barroso, berkata dengan sumbangan terbaru itu, jumlah sumbangan meningkat kepada AS$9.6 bilion bagi pembelian vaksin dan AS$775 juta untuk penghantarannya.

Jumlah dos yang disumbangkan oleh negara dengan lebihan bekalan vaksin kini berjumlah lebih 132 juta.

Sebelum sidang puncak kelmarin di Jepun, inisiatif Covax telah mengumpul AS$7 bilion.

Keseluruhan ikrar terbaru itu melebihi kekurangan sebelum ini sebanyak AS$1.3 bilion yang dianggarkan pihak Gavi untuk membeli 1.8 bilion dos yang diperlukan untuk menyuntik 30 peratus penduduk di 92 negara berpendapatan rendah menjelang akhir tahun ini.

Sidang puncak itu menyatakan lebih 80 peratus suntikan vaksin yang diberikan sejauh ini dilakukan di negara maju, dengan negara membangun hanya mendapat 0.4 peratus vaksin.

"Kita tidak boleh membiarkan situasi tertentu atau kekuatan ekonomi suatu negara menentukan aksesnya pada vaksin," kata Encik Suga, sambil menyatakan pentingnya kemudahan Covax yang telah memberi lebih 76 juta dos kepada lebih 120 negara sejauh ini.

Ikrar Jepun sebanyak AS$800 juta itu sebagai tambahan kepada sumbangan sebelumnya sebanyak AS$200 juta

Encik Suga berkata Jepun berhasrat memberi sekitar 30 juta dos vaksin buatan domestik kepada Covax, dengan penyelidikan dan pembangunan vaksin di Jepun akan menjadi landasan utama dalam strategi nasional melawan pandemik pada masa depan yang diumumkan Isnin lalu.

Inokulasi peringkat sejagat adalah penting memandangkan ekonomi dunia sekarang saling terkait, dan ketersediaan vaksin yang tidak sama telah mendedahkan jurang antara negara yang memiliki vaksin dengan negara yang tidak.

Saintis mengatakan ketersediaan vaksin yang adil di seluruh dunia adalah kunci untuk menamatkan pandemik Covid-19.

Covid-19 terus menular dengan agresif di Asia walaupun jangkitan telah menurun di negara seperti Amerika, Britain dan Israel, di mana program imunisasi adalah pada tahap maju. Namun negara kaya mungkin akan merasakan kesannya juga.

Yayasan The Rockefeller mengatakan dalam satu rancangan bertindaknya yang dikeluarkan pada Selasa lalu:

"Sedang Covid-19 beredar bebas di lorong-lorong (bandar) Old Delhi dan Sao Paolo, ia dengan cepat berkembang menjadi varian yang lebih berjangkit dan boleh membawa maut yang dapat kembali, sekali lagi, ke negara-negara kaya dan menyakiti serta membunuh mereka yang sebelumnya diberi vaksin."

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti