Pemimpin di seluruh dunia memberikan reaksi bercampur, antara kecaman dengan sokongan, terhadap penahanan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, oleh Amerika Syarikat (AS).
Susulan satu serangan berskala besar ke atas Venezuela pada 3 Januari, Encik Maduro dan isteri ditahan oleh pasukan AS dan dibawa keluar dari negara itu.
Pasangan tersebut telah didakwa atas pertuduhan berkaitan dadah di New York.
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, berkata kerajaannya “tidak akan menitiskan air mata” atas berakhirnya pemerintahan Encik Maduro.
Namun, negara-negara jiran di Amerika Latin mengecam tindakan itu, begitu juga sekutu lama Venezuela – Russia dan China.
China berkata ia “amat terkejut dan mengecam keras” penggunaan kekerasan terhadap sebuah negara berdaulat dan presidennya.
Russia pula menuduh AS melakukan “tindakan pencerobohan bersenjata”.
Iran, yang sedang terlibat dalam pertikaian sendiri dengan Presiden AS, Encik Donald Trump, berhubung janji campur tangan di negara itu, menyifatkan serangan tersebut sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara”.
Encik Trump berkata AS akan “mentadbir Venezuela sehingga peralihan kuasa yang selamat, wajar dan berhemah dapat dilaksanakan”.
Pada 3 Januari, letupan pertama di ibu negara Venezuela, Caracas, kedengaran sekitar jam 2 pagi waktu tempatan (2 petang waktu Singapura), dan pesawat dapat dilihat serta didengar di udara selama beberapa jam, menurut penduduk.
Beberapa letupan berlaku berpusat di Pangkalan Tentera Fuerte Tiuna di Caracas.
Ramai pemimpin Amerika Latin turut mengecam tindakan AS itu.
Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula Da Silva, menulis di laman X bahawa tindakan tersebut “melangkaui batas yang tidak boleh diterima”.
Beliau turut menambah bahawa “menyerang negara lain secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa adalah langkah pertama ke arah dunia yang dipenuhi keganasan, kekacauan dan ketidakstabilan”.
Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, menyifatkan serangan itu sebagai “pencerobohan terhadap kedaulatan” Amerika Latin, manakala Presiden Cuba, Encik Miguel Diaz-Canel, menggambarkannya sebagai “serangan jenayah”.
Presiden Chile, Encik Gabriel Boric, pula menyuarakan “kebimbangan dan kecaman” di X serta menyeru “penyelesaian secara aman terhadap krisis serius yang menjejaskan negara itu”.
Presiden Cuba, Encik Miguel Diaz-Canel, menuduh AS melakukan “serangan jenayah”, manakala Uruguay berkata dalam satu kenyataan rasmi bahawa ia memantau perkembangan itu “dengan penuh perhatian dan kebimbangan serius” serta “menolak campur tangan ketenteraan, seperti pendiriannya selama ini”.
Encik Trump turut memberi isyarat bahawa Cuba mungkin menjadi sebahagian daripada dasar AS yang lebih luas di rantau itu, sambil menyifatkan negara tersebut sebagai sebuah negara yang gagal.
Setiausaha Negara AS, Encik Marco Rubio, berkata Cuba adalah sebuah bencana yang ditadbir oleh pemimpin tidak cekap yang menyokong pentadbiran Maduro, dan berkata pemerintah di Havana seharusnya berasa bimbang.
Menteri Dalam Negeri Venezuela, Encik Diosdado Cabello, menggesa rakyat agar kekal tenang dan mempercayai kepimpinan negara serta angkatan tenteranya.
“Dunia perlu bersuara mengenai serangan ini,” katanya, menurut agensi berita, Reuters.
Rakyat AS juga turun ke jalanan di Chicago dan Washington pada 3 Januari bagi membantah campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat di Venezuela.
Sambil memegang sepanduk bertulis “tiada darah untuk minyak”, “tiada perang AS terhadap Venezuela” dan “jauhkan dari Amerika Latin”, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Federal Plaza di Chicago ketika malam menjelang.
Mereka menyifatkan operasi menyingkirkan Encik Maduro, sebagai satu tindakan imperialisme yang tidak dipersetujui rakyat Amerika serta dilaksanakan tanpa kelulusan Kongres seperti yang dikehendaki.
Di samping itu, Encik Starmer, enggan mengulas sama ada tindakan ketenteraan itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam temu bual dalam satu program ‘Sunday wtih Laura Kuenssberg’ terbitan BBC pada pagi 3 Januari, beliau tidak mengecam serangan AS tersebut.
Beliau berkata bahawa beliau masih menunggu untuk mendapatkan semua fakta, namun tidak akan “mengelak daripada isu ini”, sambil menegaskan bahawa beliau adalah “penyokong tegar undang-undang antarabangsa”.
Britain tidak terlibat dalam serangan tersebut dan Encik Srarmer berkata beliau tidak berbincang dengan Trump mengenai operasi itu.
Namun pada hari yang sama, Encik Starmer menulis di X bahawa Britain “menganggap Encik Maduro sebagai presiden tidak sah dan kami tidak menitikkan air mata atas berakhirnya pemerintahannya”.
“Kerajaan Britain akan membincangkan situasi yang sedang berkembang ini dengan rakan sejawat AS dalam beberapa hari akan datang, ketika kami berusaha ke arah peralihan yang selamat dan aman kepada sebuah pemerintah sah yang mencerminkan kehendak rakyat Venezuela,” tambahnya.
Beberapa pemimpin negara juga mempertikaikan kesahihan Encik Maduro sebagai presiden, namun, mereka berpendapat peralihan kuasa harus menepati undang-undang antarabangsa.
Diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Cik Kaja Kallas, mengulangi pendirian blok itu bahawa Encik Maduro tidak mempunyai kesahihan (sebagai presiden).
Namun, peralihan kuasa harus dilakukan secara aman, dan prinsip undang-undang antarabangsa mesti dihormati.
Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata, peralihan kuasa “mestilah aman, demokratik dan menghormati kehendak rakyat Venezuela” dalam satu catatan di X.
Beliau berharap agar calon presiden pembangkang pada pilihan raya 2024, Edmundo Gonzalez, dapat memastikan peralihan tersebut.
Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, berkata, kesahihan operasi AS itu adalah “rumit” dan undang-undang antarabangsa secara keseluruhan mesti diambil kira.
Beliau memberi amaran bahawa “ketidakstabilan politik tidak boleh dibiarkan berlaku di Venezuela”.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, pula menambah beliau “amat bimbang bahawa peraturan undang-undang antarabangsa tidak dihormati”, menurut jurucakapnya.
Beliau juga “amat terkejut” dengan serangan itu, yang menurutnya menetapkan “preseden berbahaya”.
Beliau menggesa semua pihak di Venezuela supaya terlibat dalam dialog inklusif, dengan menghormati sepenuhnya hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
Di AS, Ketua Minoriti Senat, Encik Chuck Schumer dari Parti Demokrat, pula berkata:
“Biar saya jelaskan, Encik Maduro ialah seorang diktator tidak sah, tetapi melancarkan tindakan ketenteraan tanpa kelulusan Kongres dan tanpa pelan persekutuan mengenai langkah seterusnya adalah tindakan yang melulu.”
Presiden Argentina, Encik Javier Milei – yang digelar Encik Trump sebagai “presiden kegemarannya” – menulis di media sosial:
“Kebebasan mara ke hadapan” dan “Hidup kebebasan”.
Rakyat Venezuela di negara sendiri dan di seluruh dunia turut meraikan susulan penyingkiran Presiden Nicolas Maduro pada 3 Januari.
Sejak pentadbiran Encik Maduro pada 2013, jutaan rakyat Venezuela meninggalkan negara mereka kerana tidak mampu mendapatkan makanan atau bagi mencari peluang kehidupan yang lebih baik di luar negara.
Tindakan meninggalkan negara itu sekali gus dianggap antara yang terbesar di dunia pada zaman moden.
Laungan keceriaan kedengaran di jalan-jalan ibu kota di Amerika Latin dan juga di Sepanyol, tempat warga Venezuela berkumpul untuk berkongsi kegembiraan mereka – sambil tertanya-tanya apakah masa depan yang bakal menanti.– Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg