JAKARTA: EKONOMI utama Kumpulan 20 (G20) telah bersetuju untuk melaksanakan enam tindakan utama bagi sektor kesihatan yang bertujuan mengorak langkah beralih daripada dunia yang terdedah kepada pandemik kepada yang kalis pandemik.
Langkah ini diambil sedang kumpulan ini mengemudi perjalanan berdepan dengan dua blok geopolitik yang berdaya saing dalam suasana berlatarbelakangkan konflik di Ukraine.
Menjelaskan demikian selaku wakil presiden G20 (Indonesia) kepada media di Bali, Menteri Kesihatan Indonesia, Encik Budi Gunadi Sadikin, berkata satu siri mesyuarat pemimpin kesihatan yang bermula pada Mac dan tamat kelmarin telah dapat mengusahakan, antara lain, dana pandemik yang dikenali sebagai Dana Perantara Kewangan (FIF).
Ia akan membantu negara mempersiap diri bagi pandemik mendatang, mengenal pasti keperluan bagi edaran sumber kesihatan lebih saksama dan perkongsian data yang lebih diperbaiki untuk mengenal pasti sebarang patogen - virus, bakteria atau parasit - yang boleh mencetus pandemik mendatang.
G20 bersetuju untuk menyetarakan protokol Covid-19 bagi memudahkan kembara antarabangsa dan mempercepat pemulihan ekonomi, memperluas kapasiti kajian dan pengeluaran vaksin, terapeutik dan diagnostik untuk membantu negara berpendapatan rendah dan membangun.
Ia juga ingin mempertingkat perjuangan menentang batuk kering, jangkitan kedua paling berbahaya serta mampu meragut nyawa selepas Covid-19.
"Kita telah sampai ke sesi perbincangan ini dengan perspektif unik dan perbezaan kita sendiri... untuk bekerjasama dalam keadaan harmoni, bagi membina dunia lebih baik dengan seni bina kesihatan sejagat lebih kuat, yang melindungi kesihatan generasi masa kini dan mendatang," jelas Encik Budi kepada peserta perhimpunan pemimpin kesihatan di sesi terakhir pertemuan mereka, dua minggu sebelum Sidang Puncak G20.
"Pembentukan dana pandemik ini adalah contoh dan bukti kami sangat praktikal. Langkah mengusulkan dana ini oleh Indonesia dibuat selepas perang Ukraine bermula.
"Malahan, kami amat fokus pada isu kesihatan dan kami melaksanakannya dengan baik di samping ia diterima baik semua anggota G20," tambahnya.
FIF telah menerima ikrar sumbangan berjumlah AS$1.4 bilion ($2 bilion) dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), Indonesia dan Singapura, antara lain.
Matlamatnya adalah untuk merapatkan jurang pembiayaan bagi mendapatkan vaksin, ubatan, kit ujian dan peralatan bagi negara berpendapatan lebih rendah dan pertengahan.
"Kami memahami konteks politiknya tetapi jika perihal mengenai isu kesihatan teknikal sangat kukuh, kami boleh melobi negara G20 untuk menerimanya... sudah terbukti ini berhasil bagi dana pandemik," jelas Encik Budi.
Indonesia yang mengambil alih amanah selaku presiden G20 dari Italy pada Disember lalu menjadi tuan rumah di sidang puncak pada 15 dan 16 November di Bali.
Presiden Amerika, Encik Joe Biden; Presiden China, Encik Xi Jinping; dan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dijangka menghadiri sidang puncak ini.
Antara keutamaan Jakarta sepanjang menjadi presiden G20 ini adalah memperkukuh seni bina kesihatan sejagat dan memupuk peralihan tenaga mampan.
G20 terdiri daripada 19 negara maju dan membangun serta EU. Singapura bukan anggota tetapi diundang untuk sidang puncak ini.
Australia, China, Jepun, Amerika Syarikat dan pertubuhan antarabangsa seperti pakatan vaksin Gavi, adalah antara peserta peringkat akhir mesyuarat pemimpin kesihatan pada sesi yang diadakan pada 27 dan 29 Oktober lalu.
Memandangkan negara yang menjadi tuan rumah Sidang Puncak G20 bertukar setiap tahun, Encik Budi berkata terdapat keperluan memastikan rancangan ini dilaksanakan secara konsisten dari tahun ke tahun.
Kelmarin, beliau berbincang dengan wakil rasmi dari India yang akan mengambil alih tugas selaku Presiden beberapa perkara yang Indonesia usulkan untuk perbincangan lanjut.
"Satu daripadanya adalah penggunaan dana pandemik. Kami harus memastikan dana ini digunakan untuk menyediakan akses bagi memperbaiki sistem kesihatan khususnya di negara membangun dan juga untuk mempersiapkan diri jika pandemik selanjutnya melanda dengan dana secukupnya masih ada... untuk memulakan usaha membangun vaksin baru.
"Perkara kedua adalah kita perlu terus memperbaiki makmal penjujukan genom secara global dan akhir sekali hab kajian dan pengeluaran secara sejagat," tambahnya. - ST


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg