KUWAIT: EMIR Kuwait, Emir Sheikh Sabah al-Ahmad al-Sabah telah meninggal dunia, kata pejabatnya dalam satu kenyataan yang dibacakan di televisyen negara itu pada Selasa (29 September).
Sheikh Sabah, 91 tahun, telah memimpin Kuwait, pengeluar minyak negara Teluk dan sekutu Amerika Syarikat sejak 2006 di samping mengemudi dasar luarnya selama lebih 50 tahun.
Kini, pengganti yang dilantik bagi menerajui kepimpinan Kuwait adalah adiknya, Putera Mahkota Sheikh Nawaf al-Ahmad al-Sabah.
"Dengan kesedihan dan kehibaan yang amat sangat bagi masyarakat Kuwait, dunia Islam dan Arab serta negara lain yang bersahabat, Emiri Diwan meratapi pemergian Sheikh Sabah al-Ahmad al-Jaber al-Sabah, emir Kuwait," kata pejabatnya.
Sepanjang kepimpinannya, Sheikh Sabah berusaha mengimbangi hubungan dengan negara jiran Kuwait yang lebih besar.
Beliau gigih menjalin hubungan akrab dengan Arab Saudi, membina semula hubungan dengan bekas penjajah Iraq dan terus mengadakan dialog terbuka dengan Iran.
Beliau juga menjadi orang tengah dalam pertikaian di Teluk yang menyaksikan Riyadh dan sekutunya mengenakan boikot ke atas Qatar. - REUTERS


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg