PETALING JAYA (Selangor): Pemimpin parti politik PAS dan seorang bekas anggota kumpulan Ukays, telah dikenalpasti sebagai antara warga Malaysia yang kini menyertai gerakan jihad di Syria.
Laman berita The Star Online melaporkan, Ahli Dewan Ulama dan Ketua Penerangan PAS Kedah, Lotfi Ariffin, dan bekas pemain dram Ukays yang dikenali sebagai 'Ali Ukay' kini berada di Syam.
Ali dikatakan telah berjaya mempengaruhi Lotfi untuk pergi ke Syria dan mereka dilihat memegang senjata dan memakai pakaian seragam sebagai pejuang jihad.
Siasatan The Star mendapati, Lotfi secara terbuka memuat naik gambar dan video klip tentang dirinya di media sosial dan penglibatan beliau itu turut didedahkan oleh penyokongnya.
Esok The Star akan memaparkan artikel eksklusif mengenai seorang lagi rakyat Malaysia yang dipercayai telah direkrut oleh gerakan Jabhat al-Nusra atau Al Nusra Front, sebuah kumpulan jihad yang beroperasi di Syria dan Lubnan.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PAS telah menamatkan keanggotaan Ustaz Lotfi Ariffin berikutan dakwaan pembabitannya dalam kumpulan militan di Syria.
Lotfi telah disingkir keluar dari parti itu bulan lalu apabila dakwaan pembabitannya dengan kumpulan militan di Syria muncul di media dan juga media sosial.
Lotfi dilaporkan menyatakan hasrat untuk mempertahankan hak-hak orang-orang Syria yang ditindas.
"Kami menjalankan siasatan kami sendiri dan memutuskan untuk menamatkan keahlian Lotfi.
"Ini menjadi peringatan dan amaran kepada semua ahli-ahli kami untuk tidak mengaitkan diri mereka dengan mana-mana kumpulan militan, kerana kita tidak menyokong keganasan," katanya. - The Star Online.