KABUL: Seorang pemimpin kanan Taleban yang dikenali kerana memberi syarahan yang menentang kumpulan militan ISIS, terbunuh kelmarin dalam serangan pengebom bunuh diri di sebuah madrasah di Kabul, Afghanistan.
ISIS telah mengaku mendalangi serangan itu.
Pemimpin itu, Sheikh Rahimullah Haqqani, baru-baru ini, telah menyuarakan sokongan supaya budak-budak perempuan dibenarkan menghadiri sekolah.
Sebelum ini, beliau telah mengatasi dua percubaan untuk membunuh beliau - termasuk satu percubaan di Pakistan pada Oktober 2020.
"Madrasah di mana Sheikh Rahimullah berada menjadi sasaran hari ini dan kesudahannya, beliau dan salah seorang saudaranya terbunuh," kata jurucakap polis Kabul, Encik Khalid Zadran.
Menambah, beliau berkata tiga lagi cedera dalam pengeboman itu.
Jurucakap pemerintah, Encik Bilal Karimi, pula berkata serangan ke atas itu adalah satu perbuatan pihak pengecut, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu.
Menyusuli itu, ISIS, menerusi saluran Telegram, berkata serangan itu telah dilakukan oleh pengikutnya yang meledak bahan letupan yang disembunyikan dalam pakaiannya semasa berada dalam pejabat Rahimullah.
Dalam kenyataannya, ISIS berkata Sheikh Rahimullah antara penyokong paling kuat Taleban dan antara penyokong yang paling menyokong usaha menentang ISIS, menurut Site, sebuah kumpulan yang memantau kegiatan militan.
Sumber Taleban berkata walaupun Sheikh Rahimullah tidak mendukung sebarang jawatan rasmi, beliau berpengaruh dan telah menjadi pendidik kepada ramai anggota kumpulan itu.
Sheikh Rahimullah dikenali sebagai pendakwah yang berani menentang ISIS , terutama apabila Taleban kembali berkuasa di Afghanistan sejak Ogos lalu.
Sejak beberapa bulan lalu, beliau juga menyokong hak budak perempuan untuk bersekolah.
Dalam wawancara dengan BBC pada Mei lalu, beliau berkata undang-undang syariah tidak melarang pendidikan wanita.
Namun, sejak kembali berkuasa sekitar setahun lalu, Taleban telah mengenakan sekatan ketat ke atas budak-budak perempuan dan wanita di negara itu.
Ini termasuk tidak membenarkan sekolah menengah bagi budak-budak perempuan dibuka semula di kebanyakan tempat di negara itu. - AFP.