TEHERAN: Pemimpin tertinggi Iran telah bersetuju memberi pengampunan atau meringankan hukuman puluhan ribu banduan, termasuk sebilangan yang ditahan ketika bantahan antipemerintah baru-baru ini, lapor agensi berita Irna kelmarin.
Menurut Ketua Hakim Iran, Encik Gholamhossein Mohseni-Eje'i, Ayatollah Ali Khamenei telah bersetuju dengan usulan yang dikemukakan dalam suratnya kepada pemimpin tertinggi negara sempena ulang tahun Revolusi Islam 1979.
Namun, ia tidak akan terpakai kepada mereka yang berdepan pertuduhan "mengintip untuk agensi asing, mempunyai hubungan langsung dengan ejen asing, melakukan pembunuhan dan kecederaan dengan niat, serta melakukan pemusnahan dan pembakaran harta benda negara".
Ini bermakna, ia tidak terpakai kepada mereka yang dituduh "melakukan pengintipan untuk agensi asing" atau "bersekutu dengan kumpulan yang memusuhi Republik Islam berkenaan".
"Mereka yang tidak menunjukkan penyesalan atas aktiviti mereka dan memberi komitmen secara bertulis untuk tidak mengulangi kegiatan berkenaan, tidak akan diampunkan," kata Timbalan Ketua Kehakiman, Encik Sadeq Rahimi, menurut laporan media.
Pengampunan yang diluluskan oleh Ayatollah Khamenei, 84 tahun, itu turut mempunyai syarat lain - menurut perincian yang diumumkan dalam laporan media - yang menyatakan ia tidak terpakai kepada mana-mana individu yang memiliki dua kerakyatan yang ditahan di Iran.
Agensi berita Irna juga melaporkan, individu yang didakwa "melakukan kerosakan di muka bumi" - pertuduhan besar dikenakan ke atas beberapa penunjuk perasaan di mana empat daripada mereka sudah dihukum mati, juga tidak akan menerima pengampunan.
Iran berdepan gelombang bantahan penunjuk perasaan susulan kematian seorang wanita Kurdish negara itu ketika berada dalam tahanan polis moral pada September tahun lalu.
Agensi berita aktivis Hrana mendakwa kira-kira 20,000 orang ditahan berkait demonstrasi itu di mana pihak berkuasa menuduh ia dicetuskan oleh musuh asing Iran.
Pengarah eksekutif Pusat Hak Asasi Manusia di Iran, Encik Hadi Ghaemi, berkata walaupun sukar untuk menilai ikrar pemerintah sebelum melihat keputusan pengampunan, paling banyak sebilangan kecil penunjuk perasaan peringkat rendah mungkin dibebaskan.
"Pengampunan itu nampaknya lebih propaganda daripada sebenarnya menangani sejumlah besar tahanan politik," katanya. "Kita harus benar-benar menumpukan pada fakta bahawa sesuatu mengenai perintah 10,000 tahanan politik di Iran wujud. Selagi mereka berada di penjara, pengampunan ini sebenarnya tidak penting atau berkesan dalam menangani rungutan protes," katanya yang ditukil akhbar The New York Times kelmarin. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg