
PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyangkal tuduhan bahawa beliau ditahan pada petang Rabu (8 Mac) dan mengesahkan beliau telah diminta pergi ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun Facebook beliau, Tan Sri Muhyiddin berkata berita berkenaan beliau ditahan di padang golf yang disebarkan oleh sebuah portal berita adalah palsu. "Hari ini saya hadir ke beberapa mesyuarat berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang akan bermula Jumaat ini," katanya. "Bagaimanapun esok Khamis saya diminta ke Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada pukul 11 pagi," tambahnya yang menyandang jawatan sebagai Ahli Parlimen Pagoh dan memimpini parti Perikatan Nasional. Berita Harian Malaysia (BHM) melaporkan, spekulasi bertiup kencang sejak petang Rabu bahawa SPRM akan menahan seorang pemimpin tertinggi sebuah parti politik dan mengheretnya ke mahkamah atas pertuduhan rasuah. BHM difahamkan pertuduhan akan dikenakan terhadap pemimpin parti itu yang dikatakan sebagai 'VVIP', berkaitan siasatan berterusan SPRM terhadap dakwaan penyalahgunaan dana kerajaan. Setakat ini BHM tidak dapat menamakan pemimpin berkenaan selagi tiada pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan. Cakap-cakap pemimpin itu akan ditangkap sudah berlegar sejak minggu lalu, dan Selasa tersebar dakwaan di media sosial bahawa rumah pemimpin berkenaan dan anaknya diserbu. Dalam pada itu, sebuah portal yang dikaitkan dengan parti pembangkang terus menamakan pemimpin berkenaan dan menyebut individu berkenaan mungkin dihadapkan ke mahkamah esok. Dakwaan terhadap pemimpin tertinggi berkenaan dipercayai dibuat susulan beberapa pemimpin parti itu yang sudah dituduh di mahkamah berkaitan dakwaan penyelewengan daripada program pembangunan kontraktor pembinaan. Sementara itu ketika dihubungi BHM, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Muhammad Faiz Na'aman, berkata pimpinan parti akan berkumpul di SPRM Putrajaya berhubung kemungkinan pemimpin tertinggi parti dipanggil ke agensi itu untuk beri keterangan esok. Dr Faiz berkata pihak kepimpinan BERSATU sudah bersedia untuk menghadapi apa saja kemungkinan. "Hingga kini tiada penafian daripada SPRM mengenai dakwaan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan. "Kami barisan kepimpinan tertinggi parti akan pergi Ibu Pejabat SPRM esok pagi, kita tunggu sahaja esok," katanya ketika dihubungi. Ditanya sama ada Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu sudah ditahan, Dr Faiz berkata setakat 6.30 petang ini belum ada apa-apa berita mengenai penahanan beliau. "Setakat ini, yang diberitahu kepimpinan parti ialah esok jika presiden disahkan menerima arahan untuk ke ibu pejabat SPRM, kami akan bersama-sama beliau ke sana," katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg